DUCATI STREETFIGHTER V4 S 2025 DILANCARKAN – 214HP, 119NM
Selepas pelancaran global Ducati Panigale V4 generasi ketujuh tahun ini, ramai yang menanti pelancaran Streetfighter V4 S terbaru.
Ketika di EICMA 2024 yang berlangsung di Milan, Ducati menggunakan peluang itu untuk memperkenalkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 terbaru dan ketika itu kelibat Streetfighter V4 terbaru masih tidak kelihatan.
Akhirnya persoalan terjawab dalam episod terbaru Ducati World Premiere 2025 apabila kilang Borgo Panigale melancarkan Streetfighter V4 S terbaru. Seperti kebiasaan, motosikal ‘hyper-naked’ dari Ducati itu hadir dengan dua varian V4 (standard) dan V4 S (perdana).
Seperti Panigale V4 S, versi Streetfighter V4 S ini juga mendapat pelbagai naik taraf dan peningkatan kuasa serta casis yang telah dipertingkat. Melihat kepada spesifikasi dan ciri ditawarkan, jelas menunjukkan bahawa jurang antara Streetfighter V4 S terbaru ini dengan Panigale V4 S jauh lebih kecil berbanding sebelum ini.
Ini kerana perbezaan ketara (selain ergonomik dan reka bentuk) hanyalah talaan kecil pada reka bentuk ‘intake’ bagi mengoptimumkan aliran kuasa pada semua peringkat rev.
Enjin
Hasilnya, Ducati Streetfighter V4 S ini menawarkan 214hp pada 13,500rom dan 119Nm pada 11,250rpm yang terhasil dari enjin V4 1,103cc Desmosedici Stradale. Ini bermakna model keluaran 2025 ini menghasilkan 6hp lebih tinggi berbanding generasi sebelum ini. Menurut Ducati, kuasa Streetfighter V4 S ini boleh meningkatkan kepada 230hp dengan pemasangan ekzos Akrapovič.
Peningkatan yang ada pada Panigale V4 S turut dibawa ke versi ‘naked’ ini termasuk sistem Twin Pulse (yang menghasilkan bunyi mirip jentera Desmosedici GP.
Pada masa sama, platform Desmosedici Stradale pada Streetfighter V4 S terbaru ini kini dilengkpai dengan profil cam yang berbeza dan sistem VIS (variable length intake system) yang menyumbang kepada aliran kuasa yang lebih efisien.
Casis
Di sebalik panel badan serba merah itu adalah kerangka yang diambil bulat-bulat dari Panigale V4 yang menampilkan reka bentuk baharu dan 1kg lebih ringan berbanding model sebelumnya.
Kerangka depan dan swingarm ‘double-sided’ juga mempertingkatkan pengalaman menunggang termasuk meningkatkan daya cengkaman terutamanya ketika masuk/keluar selekoh.
Geometri bahagian stereng juga ditala semula dengan pertambahan rake sebanyak +0.5° dan trail +1mm dan dipadankan dengan fork Öhlins NIX-30 di depan dan Öhlins TTX 36 di belakang. Kedua-duanya dikawal selia oleh sistem Öhlins Smart EC 3.0. Model baharu ini turut menerima brek Brembo Hypure sama seperti Panigale V4 S.
Ducati turut mempertingkat tahap keselesaan dengan mereka semula bahagian tempat duduk dan tangki bahan berkapasiti 16L agar lebih ruang untuk memuatkan penunggang yang lebih tinggi. Kedudukan handlebar dan footpeg juga telah diubah agar lebih selesa ketika melakukan tunggangan jarak jauh.
Sementara itu, varian standard pula dilengkapi dengan fork Showa Big Piston Fork 43mm (boleh laras sepenuhnya) di bahagian depan dan monoshock Sachs di belakang.
Meskipun ketiadaan ‘fairing’ seperti versi sportbike (Panigale V4 S), namun Streetfighter V4 S ini turut menerima ‘bi-plane winglet’ yang bukan sekadar hiasan kerana mampu menjana downforce sebanyak 17kg pada kelajuan 270km/j.
Elektronik
Bagi memastikan Streetfighter V4 S ini terus kekal di atas jalan raya, Ducati melengkapkan pelbagai pakej elektronik:
- 6-Axis IMU
- Race eCBS
- Ducati Traction Control (DTC) DVO
- Ducati Slide Control (DSC)
- Ducati Wheelie Control (DWC) DVO
- Ducati Power Launch (DPL) DVO
- Ducati Quick Shift (DQS) 2.0
- Engine Brake Control (EBC)
- Ducati Vehicle Observer (DVO)
Dalam pada itu, Ducati turut memperkenalkan panel meter TFT 6.9-inci terbaru yang memudahkan penunggang menukar kepada 4 mod menunggang; Race, Sport, Road dan Wet.
GALERI: DUCATI STREETFIGHTER V4 S 2025