EICMA2024: APRILIA TUONO 457 DEBUT DI MILAN – 47HP, 43NM
Ketika Aprilia melancarkan RS 457 setahun yang lalu, ramai yang sudah menjangkakan kemunculan varian naked dengan plat nama Tuono dan senario itu direalisasikan di EICMA 2024 yang berlangsung di Milan, Itali, baru-baru ini.
Bagaimanapun, ketika RS 457 mengikut reka bentuk sama dengan RS 660, Aprilia menggunakan pendekatan berbeza dengan Tuono 457. Ini kerana model Tuono 457 itu menawarkan gaya yang jauh berbeza.
Buat pertama kalinya pada model Tuono, lampu hadapan berserta panel dipautkan pada handlebar sekaligus akan bergerak apabila handlebar digerakkan. Reka bentuk lampu juga berbeza dan tidak dilihat pada mana-mana model Aprilia sedia ada.
Selain itu, Tuono 457 turut menampilkan reka bentuk tangki baharu berlainan dengan RS 457 termasuk pelindung radiator dan tempat duduk belakang.
Beberapa aspek lain yang turut menjadikan Tuono 457 ini unik adalah penggunaan kerangka aluminium yang terdiri dari dua bahagian yang disambungkan kepada ‘steering head’. Swingarm pula diikat kepada enjin dan bukannya kerangka utama.
Persamaan utama Tuono 457 dengan RS 457 adalah pada ruangan enjin yang bernadikan platform dua silinder 457cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 47hp pada 9,400rpm dan 43Nm pada 6,700rpm.
Menariknya, Aprilia turut menala semula transmisi agar pertukaran gear lebih pendek bagi memberi fokus pada daya pecutan berbanding kelajuan maksima.
Suspensi pula merangkumi fork USD 41mm dengan jarak gerak 120mm yang dipadankan bersama monoshock belakang dengan jarak gerak 130mm. Daya berhenti pula dikendalikan brek ByBre tunggal dengan cakera brek 320mm depan dan 220mm belakang. ABS juga didatangkan secara standard namun boleh dipadamkan (tayar belakang).
Tiga mod kuasa ditawarkan termasuk Eco, Sport dan Rain sementara traction control boleh diselaraskan menggunakan butang di bahagian kiri handlebar.
Antara perincian lain termasuk:
- skrin TFT 5-inci baharu
- quickshifter (opsyen tambahan)
- port USB (opsyen tambahan)
- TPMS (opsyen tambahan)
- tangki 12.7L
Dalam pada itu, kami difahamkan Aprilia Tuono 457 akan turut dipasarkan di Malaysia sekitar tahun 2025.
GALERI: APRILIA TUONO 457 2025