
PERLUMBAAN BATAL, ARAI TETAP LANCAR TOPI KELEDAR ISLE OF MAN TT 2020 EDISI TERHAD
Arai meneruskan tradisi yang dimulakan sejak tahun 2007 apabila memperkenalkan topi keledar edisi terhad Isle of Man TT 2020, biarpun perlumbaan itu dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19.
“Sekarang ialah tempoh yang sangat sukar dan kadang-kala sukan perlu berehat sebentar untuk terus hidup. Jadi, kami melancarkan topi keledar edisi terhad Arai RX-7V Isle of Man TT 2020 pada 27 Mac lalu dengan pelumba Micheal Dunlop dan Steve Plater.
“Majlis pelancarannya cukup istimewa buat para pelumba dan peminat. Sebab itulah Arai mengambil keputusan untuk tetap melancarkan topi keledar ini walaupun perlumbaan Isle of Man TT 2020 dibatalkan.
“Seperti yang anda boleh lihat, topi keledar ini sangat menarik dan kami mahu semangat perlumbaan Isle of Man TT 2020 terus menyala,” kata Pengarah Urusan Arai Helmet (Europe), Ingmar Stroeven.
Arai RX-7V bukanlah model baharu, tetapi topi keledar tahun 2015 itu tetap mempunyai rekaan dan kualiti yang terbaik. Ia kini tampil dengan skim warna merah, emas dan hitam.
Sementara perkataan “Ellan Vannin” yang ada pada bahagian atas kiri itu bermaksud Isle of Man dalam bahasa Manx.
Harga rasmi tidak dinyatakan. Tetapi berdasarkan kepada topi keledar edisi terhad yang sama tahun lalu, ia dijual pada harga AS$900 (RM3,700) seunit.