FERRARI KC23 – MODEL ONE-OFF UNTUK PEMILIK TERISTIMEWA
Beberapa minggu yang lalu Ferrari telah memperkenalkan SF90 XX dan kini mereka mendedahkan sebuah lagi model yang lebih istimewa. Ia dinamakan KC23 dan apa yang membuatkan ia lebih istimewa ialah ianya merupakan sebuah model one-off dan tidak perlu mempunyai nombor pendaftaran kerana hanya dikhaskan untuk kegunaan di litar perlumbaan. Takkan nak main kat litar motocross pulak kan.
Ia diasaskan daripada model 488 GT3 dan menjadi lebih unik dengan pintu butterfly dan gaya yang dipinjam daripada Vision Gran Turismo dan hypercar endurance 499P mereka. Kira ada DNA perlumbaan la ni.
Model donor asal 488 GT3 telah menjalani pembedahan kosmetik besar-besaran melibatkan penggunaan komponen aero aktif. Ia mempunyai panel-panel badan yang boleh dibuka tutup menggunakan motor elektrik untuk pengalihan dan pengambilan udara.
Tiada lagi liveri perlumbaan dan keseluruhan badan diwarnakan dengan cat baharu istimewa yang dinamakan Mercury Gold dengan efek aluminium hasil penggunaan logam cecair (dah macam Terminator kau) dengan empat lapisan semburan.
KC23 turut mempunyai GT wing besar gedabak yang boleh ditanggalkan untuk gaya lebih smooth. Tapi nak buat apa sebab kereta ni bukan boleh dipandu atas jalan pun.
Ia tidak menggunakan cermin sisi konvensional tapi digantikan dengan kamera dan dilengkapi dengan rim bersaiz 18 inci yang kemudian dibalut dengan tayar-tayar slick perlumbaan. Sebagai alternatif ia turut dibekalkan dengan dua set lagi rim yang masing-masing bersaiz 21 dan 22 inci.
Walaupun ia sebuah model one-off, Ferrari menyatakan yang ia memberikan gambaran kepada model-model akan datang Ferrari. Ooo…macam tu. Walaupun luaran dan berbeza tapi dalaman masih banyak persamaan dengan 488 GT3 Evo termasuklah tempat duduk bucket dan suis-suis yang dipindah terus dari model donor.
Ia turut dilengkapi dengan roll cage penuh dan stereng spec perlumbaan dengan 16 fungsi kawalan. Korang boleh control sistem audio dengan roda stereng pun dah kembang lubang hidung.
Tiada maklumat dari Ferrari sama ada enjin 3.9 liter V8 ini telah diubahsuai ataupun tidak. 488 GT3 Evo asal yang dilancarkan untuk musim 2020 mampu menghasilkan 600 hp kuasa pada 7,000 rpm dengan tork maksima 700 Nm pada 6,000 rpm, itu dah lebih dari cukup sebenarnya untuk berseronok di dalam litar.
Kalau rasa diri dah cukup kaya model macam inilah yang harus anda miliki tapi nampak sangat pemiliknya berbeza dengan founder-founder bedak sejuk timbang kilo di Malaysia. Dia beli kereta untuk menikmati pemanduan dan bukannya dan buat content untuk melariskan produk. Nama pemilik pun tak didedahkan dan rasanya ia akan kekal menjadi rahsia. Respek lah.