Artikel Pilihan

FILEM AKSI KERETA YANG WAJIB ANDA TONTON TAHUN INI

Tahun 2017 baharu sahaja memasuki masuk bulan kedua, satu filem belum sempat kami tonton. Bukan tidak ada filem baharu tetapi filem yang menjadi pilihan peminat kereta seperti kami tentulah filem yang mengetengahkan kereta-kereta terhebat dan adegan kejar-mengejar yang disulam dengan unsur kemusnahan besar-besaran (sesuai dengan kami yang berjiwa ganas).

Tahun ini juga lebih bermakna dengan kemunculan filem-filem francais besar seperti Fast and Furious, Transformers dan Cars. Kini kami tambah lagi dua filem yang mengetengahkan elemen kereta sebagai daya penarik filem yang wajib ditonton dalam tahun ini.

BACA: 5 FILEM AKSI TERBAIK PILIHAN KAMI

1. THE FATE OF THE FURIOUS

Rasanya tiada siapa yang boleh lupa dengan filem yang mencetuskan kegilaan perlumbaan jalanan dan fenomena dunia modifikasi kenderaan seperti The Fast and The Furious.

Ia telah dihasilkan sebanyak tujuh kali dan setiap kali ditayangkan ia sentiasa menjadi lubuk duit buat syarikat pengeluar. Setiap filem menjanjikan aksi yang semakin menggila dan kini dengan filem kelapan dengan tema dan pelakon yang sama (kecuali Paul Walker), filem yang diberikan judul The Fate of the Furious bakal kembali menggegar pawagam di seluruh dunia.

BACA: PAUL WALKER DALAM F&F 8

Penggila dunia automotif dijangka berpuas hati dengan kemunculan kereta-kereta eksotik terbaru seperti Lamborghini Murcielago LP640, Plymouth GTX dan Chevrolet Corvette Stingray.

Bagaimana dengan lawan mereka? Berdasarkan trailer yang sudah pun boleh ditonton di Youtube, lawan mereka menggunakan kapal selam berkuasa nuklear. Ambik kau!

Plotnya juga sedikit berbeza di mana keluarga dan rakan-rakan Dominic Toretto lakonan Vin Diesel akan bergaduh sesama sendiri. Kemunculan Charlize Theron merupakan satu bonus buat peminat pelakon cantik ni (kami la tu).

2. CARS 3

Cars sentiasa merupakan sebuah cerita yang cukup sentimental bagi kami walaupun ia dihasilkan dalam bentuk animasi 3D. Ini kerana ia sentiasa menyerapkan unsur-unsur klasik dan sejarah dunia permotoran di dalam setiap filem ini.

Tema yang diketengahkan filem ketiga ini juga cukup menarik iaitu pertembungan antara model kereta hasil kejuruteraan tradisional dengan model hibrid hasil teknologi terbaru.

BACA: HOT WHEELS AKAN DIFILEMKAN

Berdasarkan trailer, Cars 3 masih lagi mengetengahkan Lightning McQueen, sebuah kereta lumba Nascar sebagai watak utama. Kali ini McQueen akan bertembung dengan saingan terbaru beliau yang merupakan sebuah kereta hiper hibrid berteknologi tinggi.

Ia mampu menggugat kehebatan McQueen yang merupakan produk teknologi terdahulu. Kekuatan filem ini terletak pada teknologi CGI yang memastikan setiap adegan yang dihasilkan kelihatan realistik dan hidup. Tunggu sahaja tayangannya sekitar bulan Jun nanti.

3. TRANSFORMERS: THE LAST KNIGHT

Juara adegan kemusnahan di layar perak bagi kami setakat ini masih lagi dipegang oleh filem-filem Transformers arahan Michael Bay. Setakat ini memang tiada lagi filem lain yang mempunyai tahap adegan letupan dan kehancuran prasarana sehebat filem ini. Itu belum campur adegan kemusnahan yang dihasilkan dengan gerak perlahan.

Jalan cerita Transformers yang berkisarkan sekumpulan robot dari angkasalepas yang boleh bertukar bentuk kepada kenderaan memberikan kelebihan kepada filem ini untuk menonjolkan model-model kereta super terkini.

BACA: CAMARO BINTANGI TRANSFORMERS

Antara model kereta yang muncul untuk sekuel terbaru yang dinamakan Transformers: The Last Knight ini ialah Aston Martin DB11, Mercedes-AMG GT R dan Chevrolet Camaro Bumblebee terbaru.

Untuk gambaran awal, trailer filem ini juga sudah mula disiarkan di laman Youtube.

4. COLLIDE

Filem ini mungkin tidak mempunyai repputasi sehebat 3 filem sebelum ini tetapi ia mempunyai aksi kejar mengejar dengan kereta yang tidak kurang hebatnya. Bahkan tidak keterlaluan jika kami katakan jalan ceritanya langsung tidak setanding dengan kehebatan pelakon utamanya memusnahkan kereta-kereta dengan cara yang sangat kreatif.

Plotnya cukup mudah, hero nak selamatkan heroin dan dalam proses menyelamat pula berlaku adegan-adegan kejar mengejar yang cukup mendebarkan dengan menggunakan kereta-kereta seperti Aston Martin Rapide S, Jaguar XFR, Mercedes SLS dan Citroen C5.

Lagak ngerinya sarat dengan kereta meletup, berpusing-pusing, terbalik dan meletup di Lebuhraya paling lejen – Autobahn di Jerman.

5. JOHN WICK: CHAPTER 2

Sama seperti filem Collide, filem lakonan Keanu Reeves (bukan Keanu Rivers tau) juga sarat dengan adegan kejar mengejar. Tetapi berbeza dengan filem Collide yang banyak menggunakan kereta-kereta Jerman, filem ini lebih menumpukan kepada kereta-kereta otai iaitu Muscle Cars yang menjadi kebanggaan warga Amerika Syarikat.

BACA: GAYA MUSCLE MITSUBISHI GTO

Ceritanya berkisarkan tentang kisah hidup seorang pembunuh upahan pencen yang cukup sukakan kereta-kereta Muscle. Tambah menarik bila kebanyakan adegan kejar mengajar dilakukan sendiri oleh Reeves.

Antara model kereta yang ditampilkan dalam filem ini ialah Ford Mustang vintaj dan Chevrolet Chevelle.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button