Buletin

FLYING SINGH KEMBALI BERAKSI DI TSR 2021

Pelumba legenda rali negara, Karamjit Singh bakal merealisasikan impian beraksi semula dalam pentas rali tempatan apabila mendapat penajaan berjumlah RM10,000.

DGJ Capital Sdn. Bhd. menerusi pengarah eksekutifnya, Datuk Daniel Yew menyampaikan tajaan berkenaan kepada Karamjit.

Ia sekali gus bakal menyaksikan Karamjit menyertai perlumbaan di Terengganu Sprint Rally (TSR) 2021 yang dijadual bermula 26 Februari tahun depan

.Karamjit atau nama gelarannya The Flying Sikh pada sidang media nyata gembira dengan perkembangan terbaharu itu dan tidak sabar untuk kembali beraksi.

“Saya akan gunakan wang tajaan ini untuk membaiki kereta Proton Gen2 saya. Sekarang ini kereta itu saya letakkan di rumah dan sudah dua tahun tak pakai.

“Jadi saya akan siapkan kereta itu untuk perlumbaan rali Februari ini,” katanya.

Jelas Karamjit, jumlah tajaan itu sememangnya masih tidak mencukupi namun ia sudah cukup baik untuknya kembali berlumba semula.

“Memang saya perlukan lebih dana lagi tapi untuk permulaan, saya sudah boleh gunakan wang itu untuk buat persediaan kereta.

“Kalau ikutkan saya perlu lebih kurang RM40,000 sebab nak ganti tayar, betulkan kotak gear dan sebagainya lagi,” katanya.

Mengulas hasratnya untuk berlumba di Perlumbaan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun depan, Karamjit berkata ketika ini beliau sedang berusaha untuk mencari penaja termasuklah pengeluar kereta yang sanggup untuk menajanya.

“Ketika ini masih lagi dalam perbincangan dengan semua pengeluar tapi mungkin bukan (memandu) Proton Iriz. Mungkin Toyota atau Mazda.

“Tapi secara peribadi saya memang suka memandu Proton sebab sudah menggunakannya lebih 20 tahun dan ia mempunyai nilai sentimental kepada saya.

“Nampak macam ada harapan (untuk berlumba di APRC),” katanya. – Harian Metro/Bernama


Google ads
Back to top button