Buletin

PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT MUDA GAZOO RACING ASAH PERMATA MASA DEPAN

Enam pelumba muda berusia 14 hingga 20 tahun bakal membuat penampilan sulung dalam perlumbaan Musim Keempat Toyota Vios Challenge selepas menamatkan latihan sebagai perintis dalam Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing.

Program dianjurkan UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. bertujuan mengenal pasti bakat pelumba muda Malaysia yang sedang beralih daripada perlumbaan gokart dan perlumbaan simulasi kepada perlumbaan kereta saloon.

Mereka merupakan pelumba simulasi maya Mika Hakimi dan Naquib Azlan masing-masing berusia 17 serta 20 tahun.

Selain itu,  empat lagi merupakan pelumba gokart iaitu Amer Harris (17), Jwan Hii (18), Putera Adam (14) dan Troy Eimann (16).

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing, Akio Takeyama berkata, matlamat utama program berkenaan bukan sekadar menjadi platform kepada para pelumba muda tetapi memastikan mereka mampu menyesuaikan peralihan dan mengekalkan tahap saingan.

“Falsafah Gazoo Racing mendukung misi Toyota untuk membina produk yang lebih baik melalui penglibatannya dalam sukan pemotoran malah menekankan kepentingan pembangunan modal insan.

“Program ini menerap nilai-nilai berkenaan, menggilap bakat berpotensi dan direka untuk merangsang perkembangan sukan pemotoran Malaysia,” katanya.

Para pelumba terpilih perlu menjalani latihan intensif di dalam dan luar litar sebelum layak menyertai perlumbaan.

Antara tenaga pengajar Sekolah Perlumbaan Gazoo Racing yang mencurah ilmu termasuk bekas pemandu Formula 1, Alex Yoong, Raja Drift Malaysia dan juara dua kali Toyota Vios Challenge Tengku Djan Ley, pemandu Touring Car, Mark Darwin dan Adam Khalid serta juara paling muda Toyota Vios Challenge, Hayden Haikal.

Semua aspek penting dalam pembentukan seorang pelumba profesional diterapkan dalam program ini merangkumi kemahiran mental, amalan kecergasan, komunikasi, perhubungan awam, penajaan dan pemasaran.

Selain itu, mereka juga perlu memenuhi syarat lesen perlumbaan kebangsaan (perlumbaan litar) daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

Presiden UMW Toyota Motor Sdn. Bhd., Ravindran K menambah kehadiran Toyota Gazoo Racing dalam kancah sukan pemotoran negara membantu mengembangkan sukan dan jenama sebagai entiti yang lebih dinamik, bersemangat, penuh emosi dan mengujakan.

“Selama tiga musim terdahulu, kami berjaya memberi impak besar dengan mewujudkan siri perlumbaan di litar yang dibina khas dan bukannya di litar lumba tradisional,” katanya.

Google ads
Back to top button