Modifikasi

FORD ESCORT MK1 MR. MUSCLE

Ramai orang anggap main kereta klasik ni kerja gila, buat perabis duit dan membuang masa.

Ford-Escort-MK1-mekanika (3)

Mereka anggap, daripada membelanjakan beribu-ribu Ringgit untuk sebuah kereta yang kadang-kadang lebih tua daripada usia pemiliknya ialah sesuatu yang tak masuk akal. Baik beli kereta baru katanya.

Tetapi bagi mereka yang faham nilai klasik sebuah kereta lama, mereka tidak peduli dengan kata orang-orang macam ni. Kereta klasik adalah gaya hidup. Sama macam sesetengah orang yang mengumpul ikan kelisa atau hobinya menghisap curut Cuba yang mahal.

Ford-Escort-MK1-mekanika (4)

Kereta klasik buatan British sememangnya mendapat perhatian ramai bukan saja di sini, malah di serata dunia. Pada tahun 1970-an, Ford British telah menghasilkan model Escort pertama mereka yang diberikan kod Mark 1 (Mk 1).

Walaupun kereta ini dihasilkan untuk kegunaan keluarga, penglibatan Ford dalam  arena sukan pemotoran, terutama kejohanan rali dunia membuatkan kereta ini menjadi lagenda.

Ford-Escort-MK1-mekanika (7)

Secara jujurnya, saya sudah lama tak buat cerita pasal Escort Mk 1 yang sekarang harganya semakin naik disebabkan oleh filem Fast and Furious 6. Walaupun kereta ini bukannya model asli Escort Mexico seperti mana yang digunakan dalam filem tersebut,  tapi Escort “Melaka” ini sebenarnya mempunyai kualiti lebih baik berbanding yang asal.

Di pasaran Malaysia, Ford Escort generasi pertama ini hanya didatangkan dengan enjin 1.1 liter dan 1.3 liter. Kedua-dua enjin itu adalah daripada enjin siri Kent atau juga dikenali dengan nama crossflow.

Ford-Escort-MK1-mekanika (1)

Apabila kereta yang sudah berusia lebih 40 tahun hendak digunakan dalam trafik abad ke-21, memang kerja gila kalau nak guna lagi enjin asalnya. Nak guna kompresor pendingin hawa pun enjin ni tak larat, apatah lagi nak pandu di atas lebuh raya pada kelajuan 110km/j.

Biasanya, geng-geng Escort di sebelah utara cukup suka memasukkan enjin Nissan CA18 atau SR20. Tidak kurang juga yang memasukkan enjin Toyota 4AGE. Orang Melaka bagaimanapun lain sikit falsafahnya. Mungkin keturunan Hang Jebat ini tak suka status quo. Sebab itulah Anas, pemilik Escort ini memilih enjin Toyota 1UZ-FE. Mesti ramai yang tertanya-tanya, enjin apa ni?

Ford-Escort-MK1-mekanika (23)

Haa… Kalau anda nak tau, 1UZ-FE ialah enjin 4,000cc V8 yang berasal daripada Lexus LS400 ataupun Toyota Crown Majesta. Gila kan? Tapi kalau orang gila kuasa memang tak kisah sebab enjin ini dalam keadaan standard sahaja. Ia mampu menghasilkan 261 kuasa kuda dengan daya kilas 363Nm! Betul la kata Mat Saleh, “There is no replacement for displacement”.

Kalau anda tengok sendiri ruang enjin kereta Anas ni, mesti tertanya-tanya macam mana enjin sebesar itu boleh muat. Jawapannya, enjin itu sebenarnya agak kompak. Disebabkan kedudukan piston yang berbentuk V, jadi ngam-ngam sahaja muat dalam badan Ford Escort ni. Dari segi mounting, memang kena buat custom sebab tak sama.

Ford-Escort-MK1-mekanika (22)

Semua pendawaian enjin disorok kemas dengan terminal bateri diubah ke bahagian belakang kereta. Enjin ini memang tak diubah suai langsung kerana kombinasi enjin  dengan chasis Escort yang beratnya kurang satu tan itu mampu menghasilkan prestasi yang tak dapat diungkap dengan kata-kata.

Enjin 1UZ tidak pernah didatangkan dengan kotak gear manual. Jadi Anas tak mahu pening kepala dan terus gunakan kotak gear automatik yang datang bersama enjin. Satu-satunya ubah suai yang melibatkan prestasi ialah sistem ekzos. Escort ini dipasang dengan sistem paip ekzos saluran terus bersaiz tiga inci yang keluar ikut tepi kereta. Pastinya ia mampu menghasilkan runut bunyi V8 yang lazat.

Ford-Escort-MK1-mekanika (6)

Gandar belakang ialah satu lagi modifikasi yang wajib dibuat. Sebab gandar belakang asal Escort memang tak boleh tampung kuasa enjin. Boleh meletup kalau Anas tarik full rev!

Jika nak ubah suai masuk gandar asal Crown Majesta, mungkin susah kerana sistem gantungan belakang Escort menggunakan leaf spring. Jadi, opsyen yang terbaik ialah gantikan dengan gandar belakang Toyota Hilux yang sememangnya tahan lasak. Untuk long shaft pula, Anas mengubah suai long shaft standard daripada Isuzu Trooper.

Ford-Escort-MK1-mekanika (11)

Dengan enjin yang power, tak patut kalau sistem gantungan kereta tak diusik. Itu  tempah maut namanya. Semua penyerap hentak asal dikeluarkan. Pada bahagian depan, Anas berjaya memasang sepasang penyerap hentak boleh laras daripada model Nissan Silvia S15.

Untuk roda belakang pulak, setup leaf spring masih dikekalkan. Tetapi dipasang dengan penyerap hentak dan leaf spring Toyota Hilux (bersama gandar). Sepasang lowering blok digunakan pada bahagian belakang bagi mendapat ketinggian yang dikehendaki. Di bahagian depan, penyerap hentak dilaras rendah.

Ford-Escort-MK1-mekanika (8)

Kereta yang kecil dengan enjin yang besar umpama seekor tikus berhati gajah. Jadi kalau nak memberhentikan kereta ini, brek sebesar gajah amat diperlukan. Anas bertindak menyalin set brek lengkap daripada Toyota Crown Majesta bagi menggantikan brek gelendong pada roda hadapan. Manakala brek Nissan Silvia S13 untuk roda belakang.

Satu set rim Atara Racing 15×9 inci yang dibalut dengan tayar Yokohama Parada 195/50/15 di depan dan Federal RSR Semi-Slick 205/50/15 di belakang telah digunakan.

Ford-Escort-MK1-mekanika (18)

Anas mengikut tradisi modifikasi kereta Escort Mk 1 apabila mengenakan arca roda yang digelarkan “bubble arch” yang memungkinkan rim lebar digunakan dengan selamat. Kereta ini kemudian dicat dengan warna candy blue dengan garisan putih yang mengikut spesifikasi Ford Escort Mk 1 Mexico dan digunakan dalam filem Fast and Furious.

Pada ruang kabin, Anas mengekalkan 100 peratus aksesori asal Escort dan hanya membalutnya semula dengan PVC berwarna putih bersama piping biru. Ini bagi disesuaikan dengan warna luaran kereta. Stereng asal Escort diganti dengan stereng sport Sparco. Inilah satu-satunya aksesori bukan asli Escort yang digunakan.

Ford-Escort-MK1-mekanika (10)

Ford Escort kini sudah jadi lagenda dalam kalangan peminat-peminat kereta klasik tempatan. Ubah suainya menggabungkan gaya retro dengan teknologi moden yang membolehkan kereta ni memecut dengan selamat di atas jalan raya.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button