
FORD RANGER, VW AMAROK BAKAL DAPAT VARIAN EV?
Ford Ranger generasi baharu telah pun diperkenalkan secara rasmi di peringkat global pada penghujung tahun lalu, dan tidak lama lagi kembarnya Volkswagen Amarok bakal menyusul.
Difahamkan, Ford bakal memperkenalkan varian plug-in hybrid untuk Ranger, namun Amarok yang menggunakan platform Ranger T6 nampaknya tidak akan mengikut jejak langkah yang serupa.
Bercakap kepada Autocar dan Drive, Lars Krause daripada pasukan pemasaran Volkswagen Commercial Vehicle berkara, “kami kini melihat kepada versi elektrik untuk trak pikap Amarok. Ia mungkin masih terlalu awal, tapi ia adalah sesuatu yang patut dipertimbangkan dalam kitaran hayat model tersebut.

Malah, beliau yakin casis Ranger T6 yang dikongsi itu mampu menyokong penggunaan pek bateri dan motor elektrik.
“Kami fikir, ia adalah tidak mustahil. Jelas sekali kami perlu untuk melakukan sedikit modifikasi. Namun ya, kami sedang serius mempertimbangkan varian elektrik (untuk VW Amarok).
Dengan pelaksanaan peraturan emisi Euro 7 yang semakin ketat tidak lama lagi, adalah lebih masuk akal sekiranya VW terus memperkenalkan versi trak pikap elektrik, dan dengan pengenalan Amarok EV mampu membantu VW Commercial Vehicles mencapai sasaran pelepasan emisi yang ditetapkan di benua tersebut.
Laman Autocar membuat spekulasi kedua-dua trak pikap elektrik tersebut bakal dibina di kilang Ford di Michigan, dan pelancaran trak pikap tersebut mungkin akan dibuat seawal tahun 2025. – Autocar







