Buletin

FORD RECALL BRONCO, RANGER – RISIKO CERMIN WINDSHIELD TERCABUT KETIKA KEMALANGAN

Di Amerika, Ford telah mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 63,294 unit Bronco dan Ranger tahun 2022 disebabkan risiko cermin hadapan yang mudah tercabut ketika kemalangan.

Masalah tersebut dikatakan berpunca daripada perekat urethane yang tidak cukup digunakan untuk pemasangan kaca tersebut dan ia mampu mengakibatkan peningkatan bunyi bising angin atau kebocoran air masuk ke dalam ruang kabin.

Malah dalam situasi seperti kemalangan, panel kaca tersebut berkemungkinan besar mudah tercabut.

Masalah ini melibatkan kira-kira 39,063 unit Bronco dan 24,231 unit Ranger yang dipasang bermula Disember 2021 hingga April 2022.

Menurut kronologi, syarikat itu telah menerima satu aduan daripada pembeli Bronco berhubung kekurangan perekat pada cermin hadapan.

Critical Concern Review Group Ford meneliti situasi tersebut pada 7 April 2022 dan mendapati 8 unit daripada 65 Bronco yang diperiksa mempunyai masalah yang serupa.

Ford juga turut menyiasat isu ini pada model Ranger disebabkan terdapat dua buah model yang mengalami masalah yang sama. Siasatan awal mendapati tiga daripada 14 buah trak yang diperiksa mempunyai cermin yang dipasang tanpa cukup perekat. – NHTSA

Google ads
Back to top button