Buletin

FOTO INTIP: TOYOTA KIJANG INNOVA EV JALANI PANDU UJI DI INDONESIA

Seorang pengguna jalan raya di Cikampek, Indonesia, baru-baru ini menangkap gambar Toyota Kijang Innova elektrik yang sedang dipandu uji di jalan raya kawasan berkenaan.

Melalui foto dimuat naik di akaun Instagram @enno_sutarno91, Innova elektrik berwarna putih itu dilihat mempunyai dua emblem di pintu belakang iaitu di sebelah kiri tertulis ‘Rusa’, manakala sebelah kanan adalah elektrik.

Pengarah Pemasaran Toyota Astra Motor (TAM), Anton Jimmy, mengesahkan bahawa syarikat itu sememangnya sedang menguji Innova elektrik di jalan raya.

“Ujian ini dilakukan oleh Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN) sebagai syarikat pemasangan kereta Toyota domestik.

“Ia adalah sebahagian daripada penyelidikan yang sedang dijalankan oleh Toyota,” kata Anton.

Tujuan penyelidikan berkenaan kemungkinan adalah kajian susulan setelah model serupa dirakam kamera memandu pada November 2022.

Untuk rekod, Kijang Innova berasaskan elektrik sebelum ini pernah diperkenalkan di Indonesia International Motor Show (IIMS) pada April 2022.

Maklumat lain, kereta ini menggunakan casis lama, tidak seperti generasi ketujuh baharu, Innova Zenix, dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C (monocoque).

Selain itu, asas digunakan untuk konsep Innova EV ialah Venturer, merupakan varian tertinggi bagi model Innova.

Terdahulu, Toyota menyatakan bahawa Innova EV bakal dikuasakan oleh bateri 60kWj dan motor elektrik.

Google ads
Back to top button