Motosikal

G310R: KOLABORASI TVS-BMW

Buat pertama kalinya BMW Motorrad membangunkan jentera dengan sesaran enjin paling kecil iaitu BMW G310R. Ia merupakan produk pertama hasil kerjasama BMW Motorrad dengan TVS (pengeluar motosikal dari India) yang dimulakan sejak 2013.

BMWG310R7

Model roadster itu dibangunkan hasil bimbingan juara dunia empat kali stunt rider Chris Pfeiffer.

Rekaan dan kejuruteraan G310R dilakukan  di Munich, Jerman. Agar harga lebih kompetitif, produksinya dijalankan di kilang TVS di Bangalore, India.

Apabila dipasang di India, mungkin akan timbul keraguan berkaitan kualitinya. Justeru, BMW menyatakan mereka telah memperuntukkan masa yang panjang bagi membangunkan kemudahan produksi  spesifik BMW bersama TVS.

BMWG310R4

Semua mesin pengeluaran telah dibina di Jerman dan dihantar ke India. Tenaga kerja khas juga dilatih bagi memasang G310R.

Model yang bakal dipasarkan tahun hadapan itu  dijana oleh enjin bersesaran 313cc. Enjin satu silinder dengan sistem penyejukan cecair itu mampu menghasilkan kuasa maksimum mencecah 34hp @ 9,500 rpm. Sementara torknya pula  20.6ftlb @ 7,500rpm. Padanan transmisi enam kelajuan membolehkan G310R memecut sehingga 144km/j.

BMWG310R9

Difahamkan juga, G310R menawarkan penggunaan bahan api yang rendah dan efisien. Sekitar 36.05km bagi setiap liter petrol dengan kapasiti tangki cuma 11 liter.

Secara relatifnya, motor ini juga agak ringan dengan berat bersih 158.5kg. Dari segi rekaan, tentunya roadster moden tersebut memiliki hubungan dengan jentera BMW S1000R dan R1200R.

BMWG310R6

Sudut sisi panelnya identikal dengan S1000R. Sementara lampu depan seakan-akan model R1200R.

BMW G310R menggunakan fork terbalik 41mm di hadapan bersama 140mm fork travel. Untuk memberi keyakinan ketika membrek, G310R dipadankan dengan angkup brek 4-piston dan ABS sebagai standard.

BMWG310R3

Sementara pada bahagian casis, BMW menggunakan tubular keluli bagi mengekalkan harga yang rendah dan ketahanan ketika kemalangan. Bingkai juga mendapat manfaat daripada swingarm aluminium yang panjang.

BMW menggunakan rim ringan lima jejari bersaiz 17 inci. Saiz tayar depan adalah  110/70 dan 150/60 di belakang.

BMWG310R1

Bagi memudahkan tunggangan dan pengendalian, BMW menawarkan ketinggian pelana 785mm. Pilihan aksesori pelana turut tersedia bermula dari 750mm hingga 815mm.

Selain pilihan pelana yang rendah, G310R disediakan dengan pilihan kotak simpanan, ruang simpanan, indikator LED dan soket pengecas 12V.

BMWG310R5

Skim warna yang ditawarkan ialah hitam dan putih dengan kemasan perak. Terdapat juga warna biru dan kelabu serta putih mutiara tentunya, dengan kos tambahan.

BMW akan mempertontonkan model tersebut di EICMA, Milan, Itali (19-22 November), sebelum diterbangkan ke Delhi Auto Expo pada awal 2016.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button