Modifikasi

HONDA ACCORD 86?

Model yang ditiru itu selalunya kereta-kereta klasik bernilai tinggi atau kereta yang digunakan di dalam filem atau TV. Sebagai contoh, zaman siri TV “Starsky and Hutch” sedang popular pada era 1970-an dulu, ramai peminat kereta di luar Amerika Syarikat (AS) ingin meniru gaya kereta yang dipandu oleh watak hero siri tersebut.

Malangnya kereta Ford Torino yang digunakan hanya dijual di AS. Jadi, mereka  mengubahsuai kereta seperti Ford Escort atau Ford Capri untuk menyerupai Ford Torino yang digunakan dalam siri TV tersebut, lengkap dengan jalur putih di sisi kereta dan lampu siren polis.

Walaupun tak dapat seiras 100 peratus, tetapi yang penting gayanya nampak sama dan pemandu Ford Capri tersebut boleh bergaya macam Starsky and Hutch.

Di rantau Asia pula, kereta lagenda dari anime “Initial D” menjadi pujaan ramai. Walaupun rakyat Malaysia boleh membeli kereta yang sama iaitu Toyota Trueno AE86, permintaan yang tinggi dan jumlah kereta yang terhad menyebabkan harga kereta ini kini menjadi terlalu mahal dan tak mampu dimiliki oleh orang biasa.

Khairull Anwar nampaknya tetap bersemangat untuk hasilkan Initial D miliknya sendiri. Lazimnya, untuk membuat gaya replika kereta AE86, chasis pilihan ialah kereta Toyota macam model Corolla KE70, TE71 atau AE80.

Tetapi ini kali pertama saya tengok orang guna chasis Honda Accord Hatchback sebagai asas projek replika kereta milik Takumi Fujiwara!

Honda Accord Hatchback keluaran tahun 1986 mungkin jarang dilihat oleh orang ramai. Model ini asalnya dipacu oleh enjin 1.8 liter. Pada zamannya, ia dijual seiring dengan Accord Executive yang jauh lebih popular.

Asalnya, Khairull lebih berminat untuk melakukan ubah suai bahagian kosmetik sahaja.  Memandangkan kereta ini memang ada sedikit iras-iras model AE86, terutama dari bahagian belakang, jadi Khairull berpendapat, alang-alang baik buat jadi kereta Initial D terus.

Maka Khairull mula menukar penampilan luaran kereta Accord dengan memasang bampar depan original Levin AE86 yang lengkap dengan lips. Ubah suai lain ialah bonet depan dan bampar belakang asal diganti dengan barang daripada Accord Vigor, versi mewah Accord spec Jepun.

Paling penting, selepas semua bodykit dipasang, kereta ini dicat dengan warna hitam dan putih yang sememangnya warna trademark model AE86.

Bila kereta dah ada iras-iras AE86, Khairull mula gatal nak usik enjin kereta pula. Asalnya, Khairull hanya mengubah suai dengan menggantikan karburator asal kepada karburator Weber DCNF. Manakala sistem ekzos dipertingkat dengan paip tengah berdiameter 2 inci dan peredam bunyi Nismo Sports.

Biasanya, enjin pilihan pastinya daripada siri B atau enjin ZC DOHC. Mungkin sebab betul-betul nak ikut tema AE86, jadi enjin yang dipilih ialah 4AGE 4 throttle “blacktop” yang diambil daripada half-cut Levin AE111.

Enjin Toyota ni memerlukan pengubahsuaian yang agak besar untuk dimuatkan ke dalam chasis Accord. Maklumlah enjin Toyota nak masuk badan Honda.

Enjin ini tak banyak diubah suai dari segi prestasi. Memadai dengan kerja-kerja port dan polish pada kepala silinder dan penggunaan hos-hos silikon Samco. Pam asal pula diganti dengan pam bahan api Mercedes Vito berkapasiti tinggi.

Kotak gearnya ialah automatik 4 kelajuan yang datang sekali dengan half-cut. Khairull juga terpaksa buat drive shaft custom. Kalau anda rasa ini dah memeningkan kepala, mai saya cerita pula pasal sistem pendawaiannya. .

Percaya atau tidak, kereta ini terpaksa menggunakan sistem pendawaian dari tiga buah kereta berbeza! Untuk pendawaian enjin, dudah pasti sistem pendawaian asal AE111 digunakan.

Untuk pendawaian lain macam lampu depan, signal dan lampu brek, sistem pendawaian asal Accord digunakan. Apabila Khairull memasukkan papan pemuka Levin AE92 Supercharger, maka pendawaian AE92 diaplikasikan.

Sistem brek merupakan kerja rojak yang agak rumit. Khairull berjaya memasang pam brek dan sistem brek lengkap AE111 pada roda hadapan. Untuk brek belakang, Khairull menggunakan sistem brek Honda Prelude yang perlu diubah suai. Seluruh sistem paip brek perlu dibina baru bagi memastikan sistem brek selamat digunakan.

Kerja-kerja custom perlu dibuat untuk sistem suspensinya. Ye lah, Accord tahun 1986 mana ada jual penyerap hentak sports. Jadi Khairull mengambil sepasang penyerap hentak boleh laras JIC dan Tanabe yang diubah suai tapaknya.

Apabila kereta dapat direndahkan mengikut cita rasa Khairull, satu set rim SSR Mesh 16 inci digandingkan dengan tayar Archilles 195/45/16 kat depan dan Firenza 205/45/16 kat belakang.

Accord ini turut menampilkan sepasang tempat duduk jenis bucket yang berbeza rupa dan jenama. Tempat duduk pemandu ialah Bride yang datang lengkap dengan harness Takata.

Penumpang sebelah pula menggunakan Recaro Trend. Stereng asal Accord diganti dengan stereng Nardi Torino rekaan klasik.

Walaupun projek ini memang gila, tetapi projek-projek gila macam ini yang membuatkan industri modifikasi kereta kat Malaysia terus berwarna-warni.

Google ads
Back to top button