" "
Buletin

GWM HAVAL H6 HIBRID BAKAL DILANCARKAN SUKU KETIGA 2024 – CKD, JANA 239HP/503NM

Great Wall Motor (GWM) telah mencapai kejayaan luar biasa dengan peningkatan jualan global sebanyak 62.59 peratus tahun ke tahun, menjual sebanyak 201,500 unit kenderaan di pasaran antarabangsa dalam separuh pertama tahun 2024 sahaja.

Di Malaysia, GWM turut menunjukkan dominasinya dengan melancarkan pelbagai jenis kenderaan pada tahun 2024.

Dalam perancangan seterusnya, GWM Malaysia bakal memperkenalkan GWM HAVAL H6, yang digelar sebagai ‘SUV Terlaris di China’, dan dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun 2024.

Menariknya, ini akan menjadi produk CKD (Completely Knocked Down) pertama GWM di Malaysia, hasil kerjasama dengan EPMB, sebuah syarikat pelaburan automotif tempatan.

Penubuhan kilang CKD di Malaysia akan memainkan peranan penting dalam rancangan GWM untuk mengukuhkan kehadiran pasaran di rantau ASEAN dengan rangkaian infrastruktur jualan, perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti.

HAVAL H6 HIBRID

Haval H6 hibrid dibina berdasarkan platform LEMON dan mempunyai dimensi panjang 4,623mm, lebar 1,886mm, tinggi 1,730mm dengan jarak roda 2,738mm.

Di bahagian dalam, Haval H6 HEV mendapat kemasan upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng selain, pelarasan tempat duduk elektrik 8-hala untuk pemandu.

Perincian lain termasuklah kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sentuh 12.3-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi kuasa, Haval H6 HEV dijana oleh enjin turbo 1.5 liter empat silinder dengan sokongan sistem hibrid, menghasilkan 145hp dan tork maksimum 230Nm, sementara kuasa gabungan motor elektrik berupaya menghamburkan kuasa 239hp dan tork 530Nm.

Haval H6 HEV dibekalkan ciri keselamatan aktif dan pasif, termasuk 6 beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan menuruni bukit dan bantuan permulaan bukit serta kamera 360 darjah.

Ciri ADAS moden seperti brek kecemasan automatik, amaran perlanggaran ke hadapan, kawalan pelayaran adaptif, amaran berlepas lorong dan bantuan terus lorong didatangkan sebagai standard.

Google ads
Back to top button