
HABIS DALAM 90 MINIT PADA 2022, TEMPAHAN GR86 DIBUKA SEMULA DI UK
Toyota GR86 dilancarkan di United Kindom (UK) pada 14 April 2022 dan tempahan dibuka enam hari kemudian atau secara spesifiknya pada pukul 10 pagi di laman web dan melalui pengedar.
Bagaimana sambutannya? Dalam masa 90 minit kesemua unit GR86 yang diperuntukkan di UK habis ditempah!
Mereka yang gagal diberi peluang untuk mendaftar di dalam senarai menunggu sekiranya ada yang membatalkan tempahan.

Itu cerita tahun lalu dan Toyota memaklumkan unit tambahan berada di dalam perjalanan ke UK.
Untuk berlaku adil, Toyota akan mendahulukan pelanggan yang berada di dalam senarai menunggu mengikut kronologi.
Toyota menjangkakan sambutan yang sama seperti tahun lalu dan akan meneruskan kaedah menunggu sekiranya ada pembahagian unit baharu pada masa depan.

Di sebalik sambutan hangat tersebut, Toyota tidak memaklumkan berapa jumlah GR86 untuk UK termasuk pembahagian tahun ini.
Apa yang pasti ialah pengeluaran untuk Eropah dihadkan kepada dua tahun sahaja dan tiada lagi unit rasmi yang akan dibekalkan selepas itu.
Khabarnya, tempoh masa tersebut susulan peraturan keselamatan yang lebih ketat dan GR86 perlu menjalani kerja-kerja kejuruteraan baharu.

Semasa dilancarkan tahun lalu, unit GR86 UK hanya didatangkan dalam satu varian dan pilihan transmisi manual enam kelajuan dan automatik.
GR86 digerakkan enjin 2.4 liter yang menghasilkan 231bhp dan tork 250Nm dan lebih tinggi berbanding 197bhp dan tork 205Nm enjin 2.0 liter model terdahulu.
Pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 6.3 saat untuk model manual dan tambahan 0.3 saat bagi model automatik.

Harga sewaktu pelancaran ialah 29,995 pound untuk GR86 manual dan 32,085 pound bagi GR86 automatik.
Harga terbaru di laman web Toyota UK menunjukkan angka permulaan 32,495 pound (188,647).
BACA: TOYOTA PRIUS 24H LE MANS CENTENNIAL GR EDITION, SERLAH SISI AGRESIF KERETA HIBRID
BACA: TOYOTA GR86 SPESIFIKASI LUMBA DARI AUSTRALIA, RM271 RIBU!
BACA: SEGALANYA TENTANG TOYOTA YARIS CROSS, SUV HYRBID TERMURAH DI INDONESIA


















