Motosikal

HAFIZH KEMALANGAN DI AUSTRIA. MUJUR TAK SERIUS

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin yang mewakili Team Aspar Racing mengalami kemalangan pada Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring sebentar tadi.

Hafizh mengalami kemalangan berkenaan setelah merempuh jentera pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini yang terjatuh selepas gagal mengawal jenteranya.

Keadaan itu turut menyebabkan dua lagi pelumba; Edgar Pons dari Sepanyol dari pasukan Federal Oil Gresi dan Andi Farid Izdihar dari Indonesia (Idemitsu Honda Team Asia) kemalagan.

Bagaimanapun menerusi tangkap layar yang dimuat naik Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali sebentar tadi, mengesahkan pelumba berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius.

Hafizh difahamkan telah dibawa ke pusat perubatan bagi menerima rawatan lanjut.

Mujur Bastianini sempat meninggalkan trek dengan segera sebelum dirempuh pelumba-pelumba lain termasuk Hafizh.

Kemalangan itu memaksa bendera merah dikibarkan dan membuatkan perlumbaan terpaksa dihentikan seketika.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Twitternya mengesahkan Hafizh Syahrin dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan wakil kementerian di Austria untuk memberi sebarang bantuan.

“Saya baru terima khabar tentang kemalangan @Hafizh_pescao55 daripada Dato Razlan Razali sebentar tadi dan Alhamdulillah, beliau dalam keadaan sedar,” katanya. – Sinar Harian kredit foto: FB Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao

Google ads
Back to top button