Artikel PilihanMotosikal

HAMPIR SETAHUN TANPA SEBARANG KEMENANGAN MEMANG TERUK – VALENTINO ROSSI

Hampir setahun tanpa sebarang kemenangan sejak dari MotoGP Assen 2017 memang cukup membimbangkan Rossi. Mau tak rungsing, selepas ini pusingan selanjutnya ialah Assen sekali lagi dan ia juga bermakna sudah hampir setahun Rossi dan Yamaha gagal mendapat tempat pertama.

Rossi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Catalunya baru-baru ini dan mengekalkan tempat kedua keseluruhan MotoGP. Ketinggalan sebanyak 27 mata di belakang pelumba Repsol Honda, Marc Marquez.

Walaupun pernah memenangi MotoGP Assen tahun lepas, Rossi tidak menjanjikan kemenangan pada tahun ini walaupun rekod beliau agak baik di sana.

Ia memang satu pencapaian yang buruk buat beliau sendiri dan Yamaha tanpa sebarang kemenangan dalam masa setahun, akui Rossi.

Beliau sukakan litar Assen sama seperti Barcelona, Mugello ataupun Phillip Island. Beliau tidak mengharapkan tuah satu litar sahaja tetapi litar Assen memang istimewa dan biasanya beliau tidak mempunyai sebarang masalah di litar ini. Ia seolah-olah sebuah litar yang mempunyai keajaiban tersendiri.

BACA: ROSSI PUN BOLEH MENANG KALAU PAKAI DUCATI NI – LORENZO

Sudah tentu musim ini cukup mencabar dan Rossi sendiri berharap agar dapat melakukan sesuatu untuk memberikan saingan yang lebih baik pada hujung musim ini. Walaupun kemenangan di litar Assen tahun lepas cukup menggembirakan namun beliau pasti ianya berbeza dengan tahun ini. Mereka akan terus melakukan sesi ujian dan cukup optimis dengan hasilnya nanti.

Rossi juga merasakan yang jentera Yamaha mempunyai kelemahan dari segi pecutan berbanding Honda dan Ducati tetapi masih mempunyai kekuatan dari sudut lain. Yamaha juga sedang berusaha untuk mendapatkan agihan berat yang lebih baik dan casis kerana yakin keduanya memainkan faktor yang penting.

Walaupun menang di Assen pada tahun lepas Rossi menyatakan yang ia kemenangan yang cukup mencabar dan merupakan perlumbaan paling sukar pada musim 2017.  Cabaran daripada dua buah jentera Ducati dan Marc Marquez memang cukup sengit.

Tapi tahun ini menurut Rossi jentera Yamaha berada dalam keadaan yang baik dan diharapkan mampu membantu beliau meraih dan mengekalkan kemenangan di litar ini.

 

Google ads
Back to top button