Motosikal

KTM SAH LANCAR 390 ADVENTRE TAHUN DEPAN DI INDIA – NEGARA LAIN (MALAYSIA) BAKAL MENYUSUL?

Pengeluar motosikal Austria, KTM mengesahkan bahawa ia akan melancarkan model KTM 390 Adventure ke pasaran India pada tahun depan.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas BMW Motorrad India mula membuka tempahan BMW G 310 R dan G310 GS yang menjadi pesaing langsung kepada KTM 390 Adventure.

Jentera adventure itu mengambil inspirasi rekaan model utama KTM 1290 Super Adventure. Ia bagaimanapun menggunakan enjin silinder tunggal bersesaran 373cc dengan sistem penyejukan udara yang sama dipasang pada model 390 Duke dan RC 390.

Biarpun dibina di atas platform 390 Duke, KTM 390 Adventure dibezakan menerusi penggunaan roda lebih besar, tempat duduk tebal, cagak kotak penyimpanan pada bahagian sisi, posisi tunggangan yang tinggi, lampu utama lebih terang, sistem brek cakera berkembar dan ABS.

Dengan semua kelengkapan ini, ia dilihat mampu menempuh apa jua laluan off-road tanpa sebarang masalah.

KTM 390 Adventure akan ditawarkan di 320 buah bandar di seluruh India pada harga Rs 2.5 lakh (RM14,700) hingga 3.0 lakh (RM17,700) seunit. Jentera ini kemudian dijangka memasuki pasaran lain seperti Asia Tenggara dan China.

“Melalui KTM 390 Adventure, kami akan menyertai segmen adventure-touring dengan enjin bersesaran sederhana yang cukup kompetitif,” kata Presiden Probiking, Bajaj Auto Ltd., Amit Nandi.

Google ads
Back to top button