Motosikal

HARLEY-DAVIDSON BAKAL BUKA KILANG PENGELUARAN DI THAILAND

Mulai merasai kesan perdagangan antarabangsa dan masa depan tanpa Perjanjian Trans Pasifik (TPP), pengeluar motosikal dari Amerika Syarikat (AS), Harley-Davidson dilapor bakal membuka kilang baharunya di Thailand.

Memetik laporan New York Times, Thailand dipilih kerana negara itu mampu mengelakkan tarif sebanyak 60 peratus ke atas pasaran yang relevan untuk motorsikal Harley-Davidson (HD). Berita itu hadir ketika HD terpaksa memberhentikan kira-kira 118 orang pekerja di kilangnya di York, Pennsylvania.

“Langkah ini bukan untuk menafikan kerja di Amerika. Tetapi mengembangkan perniagaan di Asia,” kata Pengarah Urusan Jualan Antarabangsa Harley-Davidson, Marc McAllister yang berpangkalan di Singapura.

United Steelworkers (USW) yang mewakili para pekerja di beberapa kilang HD di AS nyata tidak sependapat dengan McAllister. Ia menyifatkan langkah membuka kilang di Thailand sebagai tamparan hebat kepada tenaga kerja HD di negara Uncle Sam itu.

Namun, pandangan itu jelas kurang berasas memandangkan jualan motosikal HD di AS sendiri dilihat semakin menurun. Ditambah dengan TPP yang telah dimansuhkan, masa depan jenama itu memang suram.

Bagi HD, tindakan mengilang motosikal hanya di AS seolah-olah hanya mengabaikan masalah kewangan dan politik yang menyelubunginya. Apa yang pasti, membuka kilang di Thailand tidak memberi apa-apa manfaat kepada pekerja HD di AS. Kita pasti dapat melihat semakin banyak pekerja terpaksa diberhentikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perkembangan terbaharu ini menjadi contoh terbaik mengenai realiti ekonomi sekarang yang memaksa syarikat-syarikat AS memberhentikan pekerja di negara sendiri dan membuka kilang di negara lain.

BACA: HARLEY-DAVIDSON STREET ROD 750 – LEBIH BERKUASA, SPORTY

“Membina motosikal di AS dan mengeksportnya tidak memberi manfaat kepada kita jika dilihat dari segi tarif. Ini kerana kebanyakan negara di rantau Asia mengenakan levi tarif yang tinggu untuk barangan import. Maka, harga motosikal adalah mahal,” jelas McAllister yang sudah 22 tahun berkhidmat dengan HD.

HD sebenarnya berharap dapat meningkatkan jualan sebanyak satu kali ganda di peringkat antarabangsa dalam tempoh sedekad. Tahun lalu, jualan globalnya meningkatkan kepada 2.3 peratus. Kontrasnya, jualan di AS jatuh sebanyak 3.9 peratus.

Kilang di Thailand bukanlah yang pertama di Asia. Pada tahun 2011, HD membuka kilang di Bawal, India. Selain turut memasang motosikal di Brazil dan mempunyai kilang rim di Australia.

Kilang HD di Thailand akan memasang motosikal untuk pasaran Asia yang sebelum ini diimport dari India atau AS. Bukan itu sahaja, pembukaan kilang di Thailand membantu mengembangkan pasaran HD ke China.

Ia dapat mengurangkan tempoh penghantaran kepada lima hingga tujuh hari berbanding 45 – 60 hari jika dihantar dari AS. Buat permulaan, kilang baharu itu akan menggaji sekitar 100 orang pekerja dan memasang kit yang diimport.

Dijadual dibuka pada penghujung tahun 2018, ada harapan harga jentera HD ditawarkan pada harga mampu milik untuk pengguna di Malaysia.

Google ads
Back to top button