
HELMET ARAI UNTUK PELUMBA KERETA
Cargloss Proriders, pengedar rasmi topi keledar Arai di Indonesia melancarkan helmet khusus buat pelumba kereta.
Tiga model berkenaan ialah GP-6S, GP5-WP dan GP–J3. Model GP-6S dan GP-5WP didatangkan dengan muka penuh. Manakala GP-J3 ialah helmet separuh muka.
Semua model GP berkenaan direka agar tahan hentakan dan kalis api. Ia adalah hasil penggunaan campuran bahan Carbon Nit, Nomex dan Comex.
Selain itu, helmet berkenaan didatangkan dengan tali pengikat menggunakan komposit kevlar dan visor setebal 3mm.
Bagi helmet GP-6S dan GP-5WP, lapisan luar menggunakan Super Complex Laminate Construction (SCLC). Ia 30 peratus lebih kuat berbanding gentian kaca biasa kerana tidak mudah bengkok dan berubah bentuk.
“Semua helmet Arai dihasilkan dengan penuh teliti dan menjadikan ciri keselamatan sebagai keutamaannya.
“Sebab itulah proses penghasilan produk jenama Arai memakan masa yang lama,” kata Ketua Pegawai Operasi Arai Jepun, Shigeyuki Harada.
Harada mendakwa ketiga-tiga produk berkenaan mampu bertahan dibakar 800 hingga 850 darjah Celcius selama satu minit pada bahagian atas. Sementara, bahagian visor mampu bertahan sehingga 30 minit.
Harga jualan model tersebut bermula Rp8 juta (RM2,480) seunit.
Sumber: Otomotifzone












