
HONDA BEAT POP ESP DILANCARKAN DI INDONESIA
Baru-baru ini, Boon Siew Honda telah melancarkan Honda Wave Dash FI baharu ke pasaran tempatan sebagai pembuka tirai 2016. Di Indonesia pula, PT Astra Honda Motor (AHM) sudah melancarkan model Honda BeAT POP eSP.
Lebih menarik skuter berkenaan didatangkan dengan rekaan grafik baharu yang lebih trendy, sesuai untuk jiwa remaja.
Konsep rekaan jalur itu akan menjadi trendsetter, sama seperti Honda Scoopy eSP sebagai ikon skuter berfesyen. Produk Scoopy eSP juga menjadi pilihan pengguna di sana.
Menurut pihak AHM, penampilan baharu berkenaan adalah untuk golongan remaja yang menginginkan penggayaan funky. Selain lebih jimat minyak, lincah dan reka bentuk badan yang ramping.
Di Indonesia, Honda BeAT POP eSP didatangkan dengan dua pilihan rekaan iaitu Stripe Cool Pixel dan Stripe Comic Hits.
Model tersebut ditawarkan dengan tiga varian iaitu BeAT eSP POP CW, BeAT POP eSP CBS dan BeAT POP eSP CBS-ISS.
Bagi Cool Pixel didatangkan dengan warna Harmony Black White untuk varian CW, CBS, CBS-ISS dan warna Groovy Red White untuk varian CBS, CBS-ISS.
Sementara, Comic Hits pula menawarkan imej pop-art komik dengan empat pilihan warna. Bermula dengan warna hitam untuk varian CW, Melody Blue White (CBS, CBS-ISS) dan Voice Magenta White untuk varian CBS-ISS.
Dilengkapi enjin 110cc SOHC, ia menawarkan kuasa 8.68PS @ 7,500rpm dan tork setinggi 9.01Nm @ 6,500 rpm. BeAT POP eSP mampu mencapai 200m dalam tempoh 12.6 saat.
Honda turut melengkapkan ia dengan penghidup ACG yang dikatakan menghasilkan bunyi enjin lebih halus.
Tidak ketinggalan, aplikasi ciri canggih Idling Stop System (ISS). Ciri itu mampu mematikan enjin ketika berhenti lebih dari 3 saat. Untuk menghidupkannya semula, pengguna hanya perlu memulas pendikit.
Skuter peringkat asas Honda itu dikatakan paling menjimatkan bahan bakar dalam kelasnya. Di atas kertas, ia mencatatkan penjimatan bahan bakar 59km seliter. Berdasarkan ujian EURO 3.
Honda BeAT POP eSP ditawarkan dengan Combi Brake System (CBS). Ciri itu membantu pengguna mengimbangi operasi membrek roda belakang dan hadapan bagi mengurangkan kelajuan secara efisien.
Harga atas jalan bagi varian CW ialah Rp14,130,000 (RM4,521.60) dan diikuti CBS iaitu Rp14,330,000 (RM4,585.60). Varian tertinggi CBS-ISS pula dijual pada harga Rp14, 830,000 (RM4,745.60).