
HONDA CB1000F BAKAL DEBUT TAHUN INI
Honda antara pengeluar yang sibuk tahun lalu apabila memperkenalkan beberapa model baharu ketika di EICMA 2024.
Antara yang mencuri tumpuan adalah pelancaran CB1000 Hornet sekaligus mengembalikan nama Honda dalam segmen hypernaked.

Namun begitu, pengeluar motosikal terkemuka Jepun itu difahamkan bakal memperkenalkan sebuah lagi model baharu kali ini menerusi CB1000F.
Saban tahun, tatanama CB sememangnya melambangkan legasi Honda terutamanya menerusi CB750 yang diperkenalkan pada 1969 kemudian CB750F pada 1979. Sejak dari itu, Honda membariskan beberapa model baharu bagi membawa lencana CB hingga ke hari ini.

Berdasarkan laporan media Jepun Young-Machine, CB1000F merupakan model terbaru yang akan membawa tatanama CB. Memandangkan Young-Machine sememangnya terkenal dengan laporan yang tepat maka kami yakin CB1000F ini akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Selain itu, terdapat beberapa faktor yang menyokong laporan terbaru ini. Pertamanya, Honda telah pun melancarkan versi Final Edition bagi CB1300 Super Four dan CB1300 Super Bol d’Or. Ini bermakna, kedua-duanya tidak lagi akan dihasilkan selepas ini.

Memandangkan Honda telah pun melancarkan CB1000 Hornet tahun lalu, adalah relevan untuk mereka mengguna pakai platform empat silinder 998cc yang sama pada versi yang lebih retro bagi mendukung tatanama CB. Ini bermakna, CB1000F dijangka akan menawarkan sekitar 150hp dan 104Nm.