Modifikasi

HONDA CIVIC EF HATCHBACK KUNING SPOON

Ketika pengeluar kereta lain mula eksperimen dengan enjin berkuasa turbo atau supercharger, Honda pula mengambil pengalamannya dalam industri motosikal dengan menghasilkan enjin aspirasi biasa (N/A) yang mampu meligat sehingga melepasi 8,000rpm.

Honda-Civic-EF-mekanika (5)

Antara kereta sports terawal mereka ialah Honda S600 dan S800. Jentera berenjin kecil tersebut mampu mencapai hampir 9,000rpm – satu angka yang tak banyak enjin produksi penuh ketika itu mampu mencapainya.

Selain daripada pengalaman dalam penghasilan motosikal, Honda pada tahun 1980-an dan 1990-an mula menceburi sukan perlumbaan Formula One. Pengalaman di litar lumba itu diterjemahkan kepada kereta buatan mereka.

Sistem pancitan bahan api PGM-Fi dan sistem gantungan jenis double wishbone ialah antara teknologi perlumbaan yang digunakan oleh kereta-kereta buatan Honda pada era itu.

Honda-Civic-EF-mekanika (7)

Dalam banyak-banyak model Honda yang dikeluarkan dalam era 1980-an dan 1990-an, saya secara peribadi tangkap cintan dengan Civic EF model hatchback.Bagi saya, ia telah merevolusikan nama Civic tu sendiri, yang sebelum ini lebih dikenali sebagai kereta penumpang yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Civic EF merupakan model Civic yang pertama dapat khidmat enjin B16A VTEC. Ia juga menjadi Civic pertama yang menggunakan sistem gantungan jenis double wishbone untuk keempat-empat rodanya. Satu lagi benda yang saya suka, Civic ini ringan dan pendek – kombinasi terbaik untuk kereta trek yang sejati.

Walaupun umur kereta ini dah melewati usia 20 tahun, namun casisnya masih dianggap terbaik untuk dijadikan bahan modifikasi. Tidak kira untuk kegunaan trek atau jalanan. Buktinya, kita boleh tengok pada EF ini.

Honda-Civic-EF-mekanika (3)

Pemiliknya, Addy sebenarnya hampir sebaya dengan kereta sendiri. Tapi kalau tengok pada kondisi kereta, tiada siapa yang sangka bahawa Civic ini dah berumur hampir 27 tahun!

Civic ini dah diubah suai untuk kuasa dan rupa, memandangkan ia tak jejak pun mana-mana trek. Untuk kuasa, sudah tentu enjin VTEC menjadi pilihan.

Addy memilih enjin B18C Type-R. Enjin dengan kuasa kuda standard 200hp, tak perlu diusik banyak sebab kombinasi enjin ni dengan cesi EF yang ringan ni pun dah mampu mencapai lebih daripada 100hp per ton – kombinasi magis untuk apa-apa kereta berprestasi tinggi.

Honda-Civic-EF-mekanika (11)

Jadi, Addy hanya menambah aksesori bolt-on. Antara barang yang ditukar ialah inlet manifold Skunk2 dan throttle body S90. Ruang enjin yang bersih berkilat-kilat ni dicantikkan lagi dengan proses wire-tuck secara menyeluruh.

Semua hos getah pula diganti dengan hos silikon Samco. Penutup kepala silinder enjin diganti dengan penutup Mugen dan radiator aluminium buatan Fwin digunakan.

Penapis udara jenis open pod  Mugen digunakan untuk menyaring kotoran. Pada masa sama membenarkan aliran udara masuk yang baik. Gas-gas ekzos disalur keluar melalui manifold 4-1 yang dibalut kain thermal yang berakhir dengan peredam bunyi A’PEXi. Enjin ditala oleh ECU A’PEXi Power FC yang menjadi kunci utama penghasilan kuasa enjin paling maksima.

Honda-Civic-EF-mekanika (14)

Kuasa enjin disalurkan ke kotak gear Honda CRX yang dibantu oleh OS Giken Super Single dengan flywheel yang diringankan.

Addy memilih satu set penyerap hentak boleh laras Improve untuk menggantikan semua penyerap hentak standard. Strut bar dari Spoon dengan kit anti-roll bar lengkap Ultra Racing memantapkan lagi pengendalian Civic ini.

Rim Rota bersaiz 15 inci dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova 195/50/15. Brek pulak disalin daripada brek Civic EF9. Maksudnya, semua brek Civic kini menggunakan cakera.

Honda-Civic-EF-mekanika (13)

Dari segi aksesori, jentera ini dicat dengan warna kuning Spoon. Manakala aksesori-aksesori macam bampar depan, bonet dan lampu belakang ialah aksesori OEM Civic EF9 versi JDM.

Ruang dalaman menggabungkan barang-barang OEM JDM dan aksesori performance aftermarket. Addy masih mengekalkan papan pemuka asal Civic EF. Tetapi barang-barang lain macam kulit pintu dan tempat duduk belakang ialah daripada Civic EF9.

Honda-Civic-EF-mekanika (10)

Tempat duduk depan ialah Recaro SR3 daripada Integra Type-R. Stereng asal diganti dengan stereng Sparco. Tombol gear titanium OEM Type-R dan pedal kaki dari Mugen. Untuk membaca tekanan pelincir, sebuah meter tekanan pelincir SARD dipasang.

Honda-Civic-EF-mekanika (4)

Civic generasi keempat ni sebenarnya dah boleh dinobatkan sebagai kereta klasik yang praktikal dan boleh digunakan setiap hari. Harga kereta model ni pun dah murah, jadi boleh la simpan duit dan beli, memang tak rugi….

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button