Buletin

HONDA CR-V 2020 DIPERKENALKAN, TAMPIL DENGAN RUPA SPORTI

Honda CR-V generasi kelima pertama kali diperkenalkan pada Oktober 2016 di Amerika Syarikat. Model SUV kegemaran ramai ini kemudian dilancarkan di pasaran tempatan pada Julai 2017 dan sejak itu membanjiri jalan raya negara kita.

Memasuki tahun ketiga di pasaran, Honda telah memperkenalkan model CR-V 2020 (facelift) di AS pada 18 September termasuk varian baharu hibrid. AS adalah pasaran utama CR-V dan crossover terlaris untuk tempoh lebih dua dekad.

Jualan CR-V di AS sekarang ini menghampiri lima juta unit sejak generasi pertama kali dilancarkan di sana pada tahun 1997.

Perkara pertama yang menarik perhatian pada CR-V facelift ialah bampar dengan garisan krom yang tampak garang dan merubah penampilan depan menjadi lebih sporti.

Lampu utama LED pula seolah-olah merenung tajam mereka yang berada di depan. Selain bampar, gril juga baharu dalam warna hitam kilat.

Pada bahagian belakang model ini menerima lampu lebih gelap dan bampar dilengkapi garisan krom melintang.

Model hibrid mempunyai satu peredam bunyi manakala model 1.5 mempunyai dua peredam bunyi dengan muncung krom.

Terdapat tiga jenis roda iaitu 18 inci untuk model hibrid dan dua varian pertengahan EX dan EX-L. Varian Touring diberikan roda 19 inci manakala varian asas LX dengan roda 17 inci.

Warna pula dengan pilihan baharu iaitu Sonic Gray Pearl, Radiant Red Metallic untuk varian 1.5 turbo dan hibrid. Satu lagi warna baharu ialah Aegean Blue Metallic khusus untuk model bukan hibrid.

Dari segi enjin, nadi 1.5 liter VTEC Turbo kekal seperti biasa dengan output 190 hp dan 243 Nm. Sama seperti CR-V tempatan, tiada model 2.4 liter ditawarkan.

Enjin itu dipadan bersama transmisi CVT dengan kawalan logik Honda G-Shift dan pilihan pacuan dua roda depan atau kesemua roda. 

Model hibrid pula menggunakan teknologi dua motor (i-MMD) yang sama seperti Accord Hybrid. Dua motor elektrik dipadankan dengan enjin 2.0 liter dengan kuasa puncak 212 hp.

Sistem dua motor ini beroperasi tanpa memerlukan transmisi automatik konvensional. Enjin 2.0l Atkinson itu dipadankan dengan kotak gear nisbah tunggal yang memacu roda secara terus.

CR-V Hybrid juga adalah model Honda pertama di AS menggunakan pacuan kesemua roda pertama dengan sistem ini.

Apabila cengkaman pada tahap rendah, klac elektronik akan diaktifkan dan menghantar kuasa bersesuaian daripada motor elektrik kepada roda belakang seterusnya meningkatkan cengkaman di atas jalan raya.

Pada bahagian dalam model hibrid mempunyai tiga suis untuk mod pemanduan berbeza iaitu Econ, Sport dan EV. Tombol gear digantikan dengan suis P, R, N dan D. 

Dari segi keselamatan, kesemua varian CR-V dilengkapi dengan teknologi Honda Sensing® sebagai ciri standard seperti berikut:

  • Collision Mitigation Braking System(CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW) dan pengesanan pejalan kaki
  • Road Departure Mitigation (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW)
  • Adaptive Cruise Control (ACC) dengan low-speed follow
  • Lane Keeping Assist (LKAS).

Istimewa untuk CR-V Hybrid ialah teknologi Acoustic Vehicle Alerting System (AVAS) yang membunyikan suara apabila ia dipandu dalam mod elektrik.

Fungsi ini penting supaya pejalan kaki peka dengan kehadiran CR-V Hybrid yang berada berhampiran.

Memandangkan CR-V facelift baru sahaja diperkenalkan di AS, model ini dijangka memasuki pasaran Asean pada tahun depan.

Mengikut kelaziman, model baharu akan dipasarkan di Thailand atau Indonesia terlebih dahulu sebelum disusuli negara lain termasuk Malaysia.

BACA: PADA 2014 HONDA FIT SPOON INI DIBAWA KE SEMA, AMERIKA SYARIKAT

BACA: HONDA TAKKAN HASILKAN HONDA e TYPE-R

BACA: PADA 2007 HONDA INSPIRE DIPERKENAL DI JEPUN – ACCORD V6 3.5L i-VTEC!

Google ads
Back to top button