Buletin

HONDA MALAYSIA RANGKA STRATEGI UNTUK TERUS KEKAL NO. 1

Honda Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa ia mensasarkan jualan sebanyak 95,000 unit kenderaan bagi tahun 2019.

Justeru, Honda Malaysia telah merangka strategi-strategi utama membantu mengekalkan posisi di pasaran.

Strategi adalah seperti berikut: 

1. Menambah Baik Standard Khidmat Pelanggan 

Selain tawaran produk yang berkualiti tinggi, Honda Malaysia juga memberi fokus kepada aspek perkhidmatan. Honda Malaysia akan terus bekerja keras untuk menaikkan taraf khidmat pelanggan.

Syarikat komited untuk meningkatkan aspek kepuasan pelanggan dengan memberi layanan hospitaliti kelas pertama di semua pusat pengedarnya.

Bagi menawarkan pengalaman layanan yang lebih baik, kakitangan Honda dilatih dengan penekanan terhadap perkhidmatan pelanggan yang komprehensif dan menyeluruh kepada semua pelanggan yang mengunjungi bilik pameran.

Pada masa yang sama, menawarkan kelebihan dan perkhidmatan selepas jualan lebih baik kepada pelanggan dalam usaha meningkatkan Keseronokan Membeli kenderaan Honda. 

2. Mengukuhkan Rangkaian Pengedar

Honda Malaysia dilihat sangat aktif dalam mengukuh dan meningkatkan rangkaian pengedarnya.

Dengan kehadiran 120 pusat pengedar termasuk 22 Pusat Badan dan Cat, Honda Malaysia kini mempunyai 83 pusat pengedar di Semenanjung Malaysia dan 15 pusat pengedar di Sabah dan Sarawak.

Akses yang mudah ke pusat pengedar Honda nyata memudahkan para pelanggan di kawasan bandar dan pinggir kota. Honda Malaysia bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedarnya untuk meningkatkan tahap khidmat pelanggan.

3. Pengenalan Model-model Baharu

Melihat kepada perkembangan positif pada tahun ini, Honda Malaysia merancang untuk mengujakan pasaran dengan memperkenalkan model-model baharu dan yang dinaik taraf.

Honda Malaysia percaya dengan model sedia ada dan akan datang, ia dapat membantu syarikat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam setiap segmen disertainya.

Syarikat memulakan tahun 2019 dengan pelancaran HR-V 1.8L RS baharu dan model hibrid pertama dalam segmen SUV kompak, HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD pada Januari lalu.

SUV kompak popular itu telah menetapkan penanda aras yang lebih tinggi dan terus mendominasi segmennya.

Pada bulan berikutnya, Jazz Mugen Edisi Terhad dan BR-V Edisi Khas diperkenalkan dengan hanya 300 unit bagi setiap model ditawarkan.

Melihat kepada prestasi tahun 2018, Honda Malaysia optimis bahawa hala tuju strategik perniagaan pada tahun ini akan menjadi batu loncatan untuk syarikat mencapai sasaran 2019 dan melangkaui ekspektasi pelanggan.

Berdasarkan kepada visi 2030 syarikat, Honda Malaysia komited untuk terus mengembangkan keseronokan mobiliti yang mampu mencetuskan nilai baru dan memberi manfaat dalam kehidupan manusia. 

Google ads
Back to top button