Artikel Pilihan

KENAPA HONDA INTEGRA TYPE R KEKAL KERETA PACUAN HADAPAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN

Honda memang mempunyai barisan model berprestasi tinggi yang popular dan banyak pula yang semakin meningkat harganya hari demi hari. Antara model yang diminati ramai tetapi sukar diperolehi tentulah Integra Type R yang original.

Jika dibandingkan Subaru Impreza dan Mitsubishi Evolution, Honda Integra ini lebih mampu milik pada waktu ianya dilancarkan. Model prestasi tinggi Honda ini merupakan sebuah coupe yang ringan dan kompak. Bukan itu sahaja, ia juga dibekalkan dengan enjin 1.8-liter yang menampilkan teknologi VTEC yang menjadi trademark Honda dan kekal menjadi lagenda sehingga sekarang. Ia merupakan varian Type R yang pertama dipasarkan secara rasmi di Eropah. Di Malaysia pula ia banyak dibawa masuk oleh syarikat-syarikat yang mempunyai AP dan memang laku keras di pasaran.

Jadi tidaklah pelik sangat kenapa model Integra Type R (juga dikenali dengan nama DC2) ini laku keras di pasaran dan kini sudahpun menerima taraf klasik moden. Berbanding Integra standard, Integra Type R mempunyai casis yang lebih teguh dan diperkuat selain dilengkapi suspensi dan sistem brek khusus untuk Type R.

Model JDM dibekalkan dengan enjin B18C 1.8-liter empat selinder DOHC VTEC yang mampu menghasilkan 197 hp kuasa pada 8,000 rpm. Ia boleh diperah sehingga ke 8,4000 rpm dan dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan close-ratio lengkap dengan tombol gear kemasan titanium. LSD pula memastikan bahagian hadapan kereta masih dalam keadaan terkawal manakala berat keseluruhan kereta ini hanyalah 1,140 kg.

Bukan hanya dilayangkan dengan warna Championship White tapi dengan jeritan seperti pontianak penat menari raver, jentera kebanggaan Honda ini mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 6.7 saat dan terus memecut sehingga kelajuan maksima 233 km/j. Status lagendanya ialah berikutan kemampuannya mengambil selekoh dengan aksi yang menyakinkan dan sekaligus membezakannya daripada kereta pacuan hadapan yang lain.

Ia juga sebagai bukti yang kereta pacuan hadapan juga mampu menawarkan keseronokkan pemanduan jika kena caranya. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kereta ini silan tonton pautan video di bawah yang menyaksikan Matt Prior dari Autocar menerangkan kenapa beliau yakin yang kereta ini adalah jentera pacuan hadapan terbaik sehingga ke hari ini.

Kredit Autocar.com

Google ads
Back to top button