Buletin

HYUNDAI DEDAH i30 FASTBACK N – JENTERA KESELAMATAN RASMI WorldSBK

Hyundai Motor hari ini melancarkan model custom i30 Fastback N yang akan menjadi kenderan keselamatan rasmi bagi perlumbaan FIM Superbike World Championship (WorldSBK), musim yang ke-32.

Ini adalah sebahagian daripada kerjasama Hyundai dengan WorldSBK yang diumumkan pada September tahun lalu.

Kereta itu nyata menyerlah dengan livery yang diambil daripada jentera i20 World Rally Championship (WRC).

i30 Fastback N Safety Car bakal membuat debut di Litar Phillip Island Grand Prix di Australia pada 22 Februari depan.

Pelbagai model Hyundai, termasuklah Kona dan Tucson akan digunakan sebagai model mengangkut krew dan sebagainya.

Sejak jenama N diperkenalkan pada Frankfurt Motorshow 2015, Hyundai telah mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan bermotor. Antaranya ialah World Rally Championships, Nürburgring 24 Hours dan WTCR.

i30 Fastback N yang menjadi model ketiga N mula didedahkan kepada umum pada Paris Motor Show 2018. Ia merupakan coupe lima pintu pertama dalam segmen C.

Dilengkapi ciri N Corner Carving Differential, jentera itu menawarkan keyakinan apabila dipandu di laluan biasa dan litar lumba.

Kerja-kerja modifikasi i30 Fastback N Safety Car dilakukan oleh pihak Hyundai Motorsport Customer Racing. Ia dipasang dengan kelengkapan khas seperti bar lampu belakang yang aerodinamik.

Tali pinggang keledar Sabelt pula memastikan pemandu dan doktor sentiasa berada dalam keadaan selamat.   Penampilannya disempurnakan lagi dengan rim berwarna merah biru dan dibalut oleh tayar Pirelli P Zero yang dihasilkan khas.

Tags
Google ads
Back to top button