Buletin

HYUNDAI IONIQ 5: RM214K UNTUK VARIAN TERENDAH

Jika Honda e mengingatkan kita kepada Honda Civic era 70an, IONIQ 5 pula mengembalikan nostalgia Hyundai PONY yang merupakan model pertama buatan syarikat Korea itu.

Suatu yang menarik apabila kedua-dua Honda e dan Hyundai IONIQ 5 merupakan kereta janaan bateri.

Civic dan PONY juga merupakan pencetus kemajuan kepada kedua-dua syarikat berpuluh tahun dahulu. 

Semasa diperkenalkan pada Februari 2021, IONIQ 5 berjaya menarik perhatian ramai dengan reka bentuknya yang futuristik. 

IONIQ 5 masih membawa tradisi sebuah kereta tradisional dalam bentuk hatchback namun perincian dan berjaya menyerlahkan gayaan kereta ini.

IONIQ 5 juga membuktikan bahawa sebuah EV tidak perlu hadir dalam bentuk unik atau lari dari kebiasaaan.

Dengan begitu banyak perhatian yang diterima, kini tiba masa untuk harga IONIQ 5 diumumkan. 

Ada tujuh pilihan dengan varian asas IONIQ 5 SE Connect 58 kWh RWD berharga £36,995 atau bersamaan RM215,374. Dari segi spesifikasi pula ada tiga iaitu SE Connect, Premium dan Ultimate.

Varian pertengahan IONIQ 5 Premium 73 kWh RWD berharga £41,945 (RM244,191) manakala pilihan paling premium IONIQ 5 Ultimate 73 kWh AWD bernilai £48,145 (RM280,286).

Jadi apa yang bagus tentang IONIQ 5? Pertama sekali ia merupakan model pertama dalam keluarga IONIQ (jenama khusus) dan model Hyundai pertama menggunakan platform khas Electric-Global Modular Platform.

Maknanya selepas ini akan ada model lain di bawah jenama IONIQ dan digerakkan kuasa bateri.

Hyundai sebelum ini pernah mempertontonkan IONIQ 5 melalui model konsep 45 pada Pameran Kenderaan Frankfurt 2019.

Model konsep 45 itu diinspirasi daripada Hyundai Pony Coupe Concept tahun 1974. 

Dari segi teknologi, IONIQ 5 ditawarkan dengan tiga jenis pilihan bateri dan pemanduan seperti berikut:

  • 58kWh RWD, jarak pemanduan sehingga 386 km.
  • 73kWh RWD, jarak pemanduan sehingga 482.8 km.
  • 73kWh AWD, jarak pemanduan sehingga 461.8 km.

IONIQ 5 dilengkapi pengecasan 800V sebagai ciri standard dan melalui pengecas ultra pantas 350kW, 80 peratus tenaga boleh diperolehi dalam masa 18 minit  manakala pemanduan berjarak 100km boleh dicas dalam masa lima minit.

Apa yang penting di sini ialah dapatkan pengecas ultra pantas. Jika tiada, pengecas domestik di dinding pun boleh cuma perlu lebih masa.

Sebagai contoh, anggaran pengecas 10.5kW memerlukan 4 jam 59 minit bagi varian IONIQ 5 58 kWh RWD dan 6 jam 9 minit untuk IONIQ 5 73 kWh RWD dan AWD.

Selain itu, sistem IONIQ 5 melalui motor dan penyongsang (inverter) boleh menukar voltan dari 400V kepada 800V untuk pengecasan yang optimum dan bila diperlukan.

Dari segi kuasa, IONIQ 5 58 kWh RWD mempunyai tork 350 Nm dan 170 PS, IONIQ 5 73 kWh RWD 350 Nm dan 217 PS manakala varian AWD paling berkuasa pada 605 Nm dan 305 PS.

Daya pecutan dari 0 hingga 100 km untuk IONIQ 5 58 kWh RWD ialah 8.5 saat, IONIQ 5 73 kWh RWD 7.4 saat dan paling laju ialah IONIQ 5 73 kWh AWD dengan hanya 5.2 saat.

Kelajuan maksimum untuk ketiga-tiga varian IONIQ 5 ialah 185 km/j.

Satu lagi yang penting ialah pakej jaminan bagi memberi keyakinan kepada pengguna untuk beralih dari nadi konvensional kepada bateri.

Kesemua varian IONIQ 5 didatangkan dengan setahun langganan rangkaian pengecasan IONITY, Lima Tahun Waranti Tanpa Had Perbatuan, Waranti Bateri Voltan Tinggi selama lapan tahun atau 100,000 batu (160,934 km), Pemeriksaan Kesihatan Tahunan Lima Tahun, tiga tahun kemaskini program navigasi MapCare, pakej Bantuan Tepi Jalan dan Waranti Anti Kakisan 12 Tahun.

Kembali kepada harga, IONIQ 5 yang segak ini berada dalam kategori premium dan perkara biasa untuk segmen tersebut.

Sebagai perbandingan, harga Nissan LEAF bermula dari £25,995 (RM151,335) dan di pasaran tempatan berharga RM181,263. 

BACA: HYUNDAI PONY: ‘PROTON SAGA’ KOREA KEMBALI DENGAN GAYA MODEN

BACA: HYUNDAI SANTA CRUZ. BILA TUCSON DISUMPAH JADI PIKAP

BACA: HYUNDAI ELANTRA N TCR – MAAF, UNTUK LITAR SAHAJA!

Google ads
Back to top button