Buletin

HYUNDAI SONATA 2020 SEDAN PREMIUM. 1 VARIAN, SMARTSTREAM 2.5L. HARGA BERMULA RM 189,888

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) secara rasmi melancarkan model generasi kelapan Sonata dalam pasaran negara.

Sedan segmen D ini menawarkan satu varian sahaja dengan menampilkan rekaan fastback dengan tema Sensous Sportiness. Ia dijual pada harga bermula RM 189,888.

Sonata terbaharu ini didatangkan enam warna pilihan iaitu putih (White Cream), perak (Shimmering Silver), kelabu (Nocturne Grey), biru (Oxford Blue), hitam (Midnight Black) dan merah (Flame Red).

Berbanding model terdahulu, sedan ini menampilkan rupa paras premium didatangkan pada jarak antara roda lebih besar iaitu 2840mm, lebar 1860mm dan panjang 4900mm.

Sentuhan rekaan hadapan lebih lebar dan agresif dengan menawarkan gril  krom Cascading terbaharu.

Selain itu, ia didatangkan lampu utama LED trapezoidal yang nipis penuh elegan.

Jaluran krom di bahagian bonet pula dapat menyembunyikan lampu nyalaan siang LED dengan lebih berkesan apabila ia tidak digunakan.  

Rekaan lampu belakang pula berbentuk C yang disambung dengan jaluran LED malah lampu ketiga turut menggunakan LED.

Perincian kemasan dalaman menumpukan kepada teknologi inovatif dan keselesaan pemandu serta penumpang.

Papan pemuka dan tempat duduk dibaluti kulit Nappa berkualiti tinggi serta kulit tiruan.

Dengan gabungan dua tona warna, ia menyerlahkan sisi premium sedan ini.

Bahagian konsol menawarkan teknologi Shift by Wire yang menggantikan tombol gear tradisional. Pemandu diberi pilihan butang P,R, N dan D.

Ia hadir dengan paparan head-up, skrin infotainmen bersaiz lapan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bahagian kokpit pula dilengkapi meter digital sebesar 12.3 inci yang memaparkan semua maklumat seperti hadlaju dan RPM.

Apa yang lebih menarik, apabila pemandu menggunakan lampu signal, meter akan memaparkan pandangan titik buta bagi memudahkan pengendalian jentera.

Selain itu, pemandu juga boleh menggunakan telefon pintar untuk membuka pintu, bonet dan membenarkan enjin dihidupkan hanya di hujung jari mereka.

Ciri-ciri lain termasuk sistem pendingin hawa automatik, slot pengecasan dan seleksi penukaran gear menggunakan butang fungsi sahaja.

Dari segi aspek keselamatan, jentera terbaharu ini didatangkan enam beg udara, ciri pemantauan titik buta (BVM) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) terkini.

Ia turut dilengkapi teknologi keselamatan Hyundai Smart Sense merangkumi Advanced Smart Cruise Control (ASCC), Forward Collition-Avoidance Assist, Automatic High Beam Assist, Lane Keep Assist, Lane Follow Assist dan Driver Attention Warning.

Sonata ini mendapat khidmat enjin baharu 2.5 liter Smartstream MPI empat silinder petrol yang mampu menjana kuasa mencecah 180 hp dan tork 232 Nm.

Sedan terbaharu ini dilengkapi sistem transmisi automatik enam kelajuan memacu roda hadapan.

Penampilan sporty jentera ini, ia hadir dengan rekaan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar 235/45.

Google ads
Back to top button