HYUNDAI LANCAR MPV STARIA DI THAILAND. 11 TEMPAT DUDUK, ENJIN DIESEL 2.2 LITER, BERMULA RM222K
Hyundai Thailand telah melancarkan MPV terbaharunya, Staria ke pasaran tempatan yang menjadikannya sebagai pasaran kedua selepas Korea Selatan.
Memetik laporan media Korea Selatan Yonhap, Hyundai turut merancang untuk memperkenalkan Staria ke pasaran Vietnam, Malaysia dan Indonesia pada suku ketiga tahun ini.
MPV dengan reka bentuk futuristik itu hadir dalam konfigurasi 11 tempat duduk. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu S dan SEL pada harga bermula 1.729 juta baht (RM222,100) sehingga 1.999 juta baht (RM256,800) seunit.
Staria yang boleh dikatakan sebagai pengganti kepada Starex itu disasar untuk meningkatkan penguasaan pasaran MPV di Thailand yang kini dikuasai oleh model jenama Jepun.
Jentera itu dikuasakan oleh enjin diesel 2.2 liter yang mampu menjana kuasa 174hp dan tork 431Nm. Enjin itu kemudian dipadankan engan kotak gear manual enam kelajuan atau 8-kelajuan automatik.
Staria tampil menarik denganlampu nyalaan siang (DRL) LED yang melintas di bahagian atas logo Hyundai. Lampu utama LED pula diintegrasikan dengan gril radiator. Manakala lampu belakang menegak yang nipis itu mengingatkan saya kepada MPV Mitsubishi Grandis.
Elemen moden diterapkan ke dalam rekaan ruang kabin dengan kluster meter digital. Konseol tengah dihuni oleh butang gear yang sama seperti sedan Sonata. Skrin sentuh infohibur bersaiz 10.25 inci (varian SEL) hadir dengan ciri ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Bagi memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang, jentera berkenaan hadir dengan enam ciri utama. Antaranya ialah sistem infohibur pintar dengan kamera sudut luas, pintu sisi kuasa, tingkap panoramik, mode relaks pada tempat duduk, lampu ambien dan ciri pembersihan udara kabin.
Tidak ketinggalan tujuh port USB, kawalan pendingin hawa untuk penumpang belakang, enam unit pembesar suara, upholsteri fabrik dan sebagainya.
Dari segi keselamatan, Staria dilengkapi pelbagai ciri termasuklah enambeg udara, kawalan kestabilan, Forward Collision Avoidance Assist (FCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Wireless Module Seat Belt Reminder (WM-SBR), Safe Exit Assist (SEA) dan banyak lagi.
- BACA: HYUNDAI TEASER MPV STARIA. REKAAN KAPAL ANGKASA DAN FUTURISTIK
- BACA: HYUNDAI UNGGULI PASARAN VIETNAM JAN-MEI 2021. KALAHKAN TOYOTA
- BACA: PANDU UJI: HYUNDAI ELANTRA 2021, HANYA UNTUK JEJAKA HENSEM BERGAYA
- BACA: HYUNDAI PALISADE DAN KONA FACELIFT 2021 BAKAL DILANCARKAN DI MALAYSIA TAHUN INI
GALERI