
PEMILIK SUV AKAN DIKENAKAN CAJ PAKIR YANG LEBIH TINGGI DI PARIS – OUI
Paris, ibukota Perancis akan mengenakan caj pakir yang lebih tinggi kepada pemilik SUV kerana ia dikatakan “tidak berguna” dalam pusat bandar khususnya. Pentadbir kotaraya Paris sudah lama mensasarkan pemilik-pemilik SUV dan kami pun tidak menyalahkan mereka dalam hal ini.

Saiz SUV yang biasanya besar gedabak memang menyukarkan pergerakan trafik di dalam kesesakan lalu lintas. Itu belum lagi yang menggunakan tayar off road bersaiz gergasi.
Laporan dari The Guardian menyebut yang peraturan ini bakal dikuatkuasakan menjelang tahun 2024. Tak lama lagi tu dan perincian mengenai SUV ini sedang diperkemaskan. Ye la, ada juga SUV yang bersaiz midi macam Suzuki Jimny tu. Kalau saiz sebesar Cadillac Escalade tu memang payah la sikit nak dapat pelepasan.

SUV menjadi sasaran mereka berikutan saiz, berat dan kapasiti enjinnya. Namun kemungkinan keluarga yang memerlukan keluasan dan ketinggiannya mungkin dikecualikan. Boleh pula macam tu eh?
Pengecualian bagaimanapun dikatakan akan diberikan kepada SUV berkuasa elektrik. Eh, tapi SUV EV pun rasanya masih besar kot saiznya.
Bayaran pakir yang dikenakan juga dikatakan berbeza mengikut jenis SUV yang digunakan. Cadillac Escalade yang bersaiz mega akan dikenakan caj yang lebih tinggi berbanding Honda CR-V. Susah juga rasanya sistem ni. Honda dah la ada banyak pilihan SUV dari CR-V, HR-V dan terbaru WR-V.

Kenapa SUV? Apa salah diorang? Menurut pihak berkuasa Paris. Pertambahan jumlah SUV di jalan raya Paris sebanyak 60 peratus sejak 4 tahun lepas antara punca sebenar. Ia merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus kepada populasi 1.15 juta unit kenderaan yang dipakir di kotaraya tersebut setiap malam. Peraturan ini diharapkan dapat menggalakkan orang ramai membeli kenderaan yang lebih kecil.
SUV juga disasarkan kerana pihak berkuasa Paris menyatakan ia tidak diperlukan untuk bergerak di dalam bandar. “Di sini tiada jalan off-road dan tiada bukit yang perlu didaki,” kata David Belliard, timbalan datuk bandar Paris. Betul juga kan?