Buletin

HAMILTON SAH BERAKSI MUSIM BAHARU F1

Mercedes mengesahkan kepulangan semula Lewis Hamilton dalam perlumbaan Formula Satu (F1) selepas berbulan-bulan mencetuskan persoalan mengenai status dirinya.

Juara dunia F1 tujuh kali itu gagal memenangi kejuaraan dunia kali kelapan selepas tewas kepada seteru utama, Max Verstappen pada perlumbaan pusingan terakhir yang penuh kontroversi di Abu Dhabi.

Kereta keselamatan meninggalkan litar pada pusingan terakhir yang menyaksikan Verstappen memotong Hamilton sekali gus memenangi kejuaraan dunia, keputusan yang menerima kritikan hebat di seluruh dunia.

Hamilton berdiam diri sejak beberapa bulan lalu sekali gus mencetuskan khabar angin dia mungkin akan bersara.

Bagaimanapun Mercedes menerusi akaun Twitter dan Facebook mengesahkan Hamilton akan kembali beraksi.

“Nombor 44 kembali,” tulis Mercedes di Twitter.

Hamilton sedang memburu kejuaraan dunia kali kelapan sekali gus mengatasi rekod yang dikongsi bersama legenda Jerman, Michael Schumacher.

Pengumuman itu mencetuskan kegembiraan kepada penyokong F1 yang sememangnya menanti-nantikan kehadiran semula Hamilton di pentas perlumbaan berprestij itu. –HM

Google ads
Back to top button