Artikel Pilihan

INI KOMEN PEGUAM TENTANG TERTUDUH KES BASIKAL LAJAK YG DIBEBASKAN

Ada rakan bertanyakan saya mengenai kes di Johor membabitkan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan tetuduh yang terlibat dalam kemalangan dan kematian 8 penunggang basikal lajak di akhir kes pendakwaan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

Jawapan saya,

Ianya berlaku apabila mahkamah mendapati pihak pendakwaraya telah gagal membuktikan satu kes PRIMA FACIE terhadap tertuduh selepas selesai saksi saksi pendakwaraya memberi keterangan.

Saksi tersebut lazimnya doktor, ibu bapa mangsa, pegawai puspakom, polis yang menerima report, pegawai penyiasat, saksi awam yang melihat kejadian dan lain lain.

Bukti bukti pula seperti laporan post mortem, rajah kasar dan kunci, laporan puspakom, laporan polis, gambar gambar dan lain lain.

Keputusan mahkamah berkenaan bermaksud pihak pendakwaraya gagal membuktikan wujudnya elemen memandu dengan keadaan MELULU atau MERBAHAYA dengan mengambil kira keadaan cuaca, jalanraya, waktu, persekitaran dan lain lain yang mungkin menjadi punca kemalangan tersebut.

Sebagai peguam saya faham bukan bilangan mangsa yang diambil kira tetapi adakah intipati pertuduhan telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaraya.

Untuk makluman semua, alasan kenapa tetuduh dilepaskan dan dibebaskan akan dinyatakan oleh majistret di dalam Alasan Penghakiman* dan Nota Perbicaraan. Ianya bukan rahsia dan boleh dibaca oleh orang ramai.

Jadi membuat spekulasi, menyalahkan majistret dan membangkitkan isu perkauman kerana mangsa mangsa, peguambela, pendakwaraya dan majistret adalah melayu dan tertuduh adalah cina adalah sangat sangat tidak bertanggungjawab.

Sebagai pegawai mahkamah, saya faham lepas dan bebas seseorang tertuduh bukan kerana bangsa, agama, taraf pendidikan, taraf keluarga tetapi semata mata kerana fakta, keterangan dan bukti yang dikemukakan di mahkamah sewaktu bicara.

Sekiranya pihak pendakwaan tidak berpuas hati keputusan majistret, mereka boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Secara peribadi saya menegaskan bahawa adalah tidak wajar membuat komen tanpa mengetahui fakta, keterangan saksi saksi dan bukti bukti semasa kes dibicarakan dan tanpa membaca alasan penghakiman daripada majistret yang membuat keputusan berkenaan.

*Alasan penghakiman ringkas saya perolehi daripada Berita Harian.

Alasan penghakiman itu turut mengambil kira keterangan 46 saksi pendakwaan dan 214 eksibit yang dibentangkan sepanjang tempoh perbicaraan.

Siti Hajar dalam penghakimannya berkata mahkamah membuat keputusan berkenaan bersandarkan beberapa perkara termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada jam 3 pagi selain keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak berkenaan.

“Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.

“Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di situ.

“Adalah munasabah mereka yang lalu di situ akan menjangka situasi terjadi, namun hanya terpakai kepada penduduk di situ dan mereka yang selalu menggunakan jalan itu. Ia tidak adil kepada pengguna yang jarang menggunakan jalan itu atau penduduk yang tidak tinggal di situ,” katanya.

Siti Hajar berkata, siasatan turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu sekali gus membuktikan tertuduh memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.
(Rujukan: Berita Harian)

Muhammad Hasif bin Hasan
(BC/M/674)
Peguambela dan Peguamcara

Sekian.

KREDIT: TUAN HASIF HASAN

Tags
Google ads
Back to top button