Buletin

INI ROLLS-ROYCE PHANTOM V MILIK JOHN LENNON – PENUH DENGAN CORAK SENI!

Rolls-Royce adalah satu jenama yang sinonim dengan raja atau kerabat diraja. Kereta ini juga ibarat penyaksian sejarah atau seperti aktor penting dalam momen sesuatu negara. Ia digunakan untuk pertabalan, perarakan dan juga pertunjukan.

Selain kerabat diraja, ada sebuah model yang sangat istimewa apabila ia dimiliki oleh selebriti terkenal iaitu John Lennon. Lebih tepat, model tersebut ialah Phantom V dan ia sekarang ini dimiliki oleh Muzium Royal British Columbia di Kanada.

Kini kereta itu akan dibawa dari pameran muzium di Kanada ke London bagi The Great Eight Phantoms – A Rolls-Royce Exhibition di bilik pameran Bonhams di New Bond Street. Lebih menarik, kawasan itu biasa dilawati oleh mendiang John Lennon menggunakan Phantom V tersebut.

Kisah Phantom V Milik John Lennon

Phantom V yang dipesan John Lennon adalah berwarna Valentine Black. Salah satu sebab beliau membeli Phantom ialah kerana impiannya mahu menjadi seorang jutawan berbeza daripada yang lain. Kereta mewah yang dibeli adalah salah satu pelengkap dalam menuju impiannya.

John Lennon menerima Phantom V ini pada 3 Jun 1965 dan lebih menarik ia adalah momen sama apabila Edward H White menjadi warga Amerika pertama berjalan di angkasa lepas.

Lennon tidak mahukan Phantom V miliknya tampil standard. RR tersebut diubahsuai mengikut tema bintang rock. Kerusi belakang ditukar kepada katil yang boleh memuatkan dua orang dan seterusnya dilengkapi perkakasan seperti televisyen, telefon dan peti sejuk. Set hiburan pula terdiri daripada pemain piring hitam dan sistem pembesar buatan tersuai (custom made) termasuk pelaung suara (loud hailer) di luar kereta.

Nampaknya warna Valentine Black asal tidak bertahan lama. Pada April 1967, Lennon telah meminta pembuat koc dari Surrey iaitu JP Fallon untuk menukar warna Phantom yang dimiliki. Rupa-rupanya, warna baharu itu adalah mengikut konsep album baharu The Beatles iaitu Sgt. Pepper’s Lonely Hearts Club Band yang dilancarkan pada pasaran dunia pada 1 June 1967. Phantom dengan warna baharu dipertontonkan beberapa hari sebelum pelancaran album tersebut.

Berikut ialah ringkasan sejarah Lennon dengan RR Phantom V:

  • Skema warna baharu itu disifatkan sebagai psikedelik di mana warna kuning pada badan kereta adalah imbasan kepada kaver album Sgt. Pepper’s Lonely Hearts Club Band
  • Jika dilihat dari dekat, corak pada badan Phantom V itu adalah bermotifkan bunga Romany seperti pada karavan gipsi (kereta kuda) dan perahu atau bot terusan dengan simbol zodiak di bumbungnya
  • Phantom V tersebut terus digunakan secara kerap oleh Lennon sehingga tahun 1969 (Beliau juga mempunyai sebuah lagi Phantom V serba putih)
  • Pada tahun 1965 beliau menggunakan Phantom V bersama dengan anggota the Beatles lain untuk ke istana bagi menerima darjah MBE
  • Pada tahun 1969, sekali lagi dengan Phantom V beliau kembali ke istana, kali ini untuk memulangkan darjah MBE dengan salah satunya ialah sebagai protes terhadap perang di Vietnam
  • Pada tahun 1970, kereta itu dihantar ke Amerika Syarikat apabila Lennon berpindah ke sana
  • Phantom V tersebut turut dipinjamkan sebagai pengangkutan kepada bintang rock lain seperti The Rolling Stones, Bob Dylan dan The Moody Blues
  • Pada tahun 1977, setelah sekian lama disimpan, Phantom itu didermakan oleh Jim Pattison, seorang bilionair kepada Muzium Royal British Columbia, Kanada

Kini Roll-Royce Phantom V milik John Lennon akan kembali ke bumi London dan bakal dipamerkan di bilik pameran Bonhams bermula 29 Julai hingga 2 Ogos depan.

BACA LAGI ARTIKEL MENARIK TENTANG ROLLS-ROYCE:

ROLLS-ROYCE SWEPTAIL – KERETA BARU PALING MAHAL DI MUKA BUMI, RM54.6 JUTA!

ROLLS-ROYCE GHOST ELEGANCE INI DICAT DENGAN SERBUK PERMATA

Google ads
Back to top button