
ALEX MARQUEZ 10 KALI LEBIH LAYAK SERTAI REPSOL HONDA, BERBANDING ZARCO – ALEIX ESPARGARO
Musim 2019 MotoGP yang baru sahaja berakhir semalam. Litar Valencia menyaksikan pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez menamatkan musim ini dengan cemerlang apabila menjuarai perlumbaan.
Namun, berita yang lebih hangat diperkatakan pastinya tentang siapakah yang akan menjadi rakan sepasukan Marquez untuk musim 2020. Kekosongan itu berlaku selepas Jorge Lorenzo mengumumkan Valencia akan menjadi litar terakhirnya selaku pelumba MotoGP.

Di atas kertas, ada tiga pelumba yang boleh menjadi pilihan pasukan Repsol Honda iaitu pelumba pasukan LCR Honda iaitu Cal Crutchlow dan Takaaki Nakagami, serta pelumba berpengalaman Johann Zarco.
Ketika ramai yang melihat Zarco sebagai calon terbaik, namun pelumba pasukan Aprilia, Aleix Espargaro berpendapat sebaliknya.
Biarpun masih belum dapat disahkan, timbul khabar angin bahawa Alex mungkin naik ke kelas MotoGP daripada Moto2 untuk bergandingan dengan abangnya pada musim depan. Jika ia benar terjadi, mereka akan menjadi pasukan adik-beradik yang pertama berada dalam satu pasukan.
Buat masa sekarang, adik-beradik yang sama-sama bersaing dalam MotoGP ialah Aleix Espargaro (Aprilia) dan adiknya, Pol yang mewakili pasukan KTM.
“Jika Honda mengambil Alex, saya fikir ia adalah keputusan yang terbaik. Saya akan melakukan perkara yang sama jika saya ialah Honda. Lagipun, selepas Moto2, juaranya akan naik ke MotoGP. Jadi, saya rasa Alex adalah 10 kali lebih layak berbanding Zarco,” kata Espargaro.

Satu lagi faktor yang membuatkan Honda lebih cenderung memilih Alex ialah persekitaran negatif yang dicetuskan oleh Zarco ketika bersama pasukan KTM. Situasi itu menyebabkan KTM bersetuju untuk membatalkan kontrak Zarco walaupun masih berbaki setahun.
“Sikap yang ditunjukkan oleh Zarco memang tidak profesional. Kami semua berdepan kesukaran, termasuklah saya dengan pasukan Aprilia. Meraka di Aprilia tahu berapa kali saya menangis tahun lalu dan tahun ini. Tetapi ini ialah tugas dan hidup saya.
“Ramai yang ada di belakang kita bekerja keras dan melabur banyak wang ke dalam projek ino. Jadi, untuk keluar dan menyatakan jentera ini teruk, saya mahu balik, bagi saya dia tidak berhak untuk mendapat jentera terbaik serta berada dalam pasukan terbaik di dunia
“Apa pun, ini hanya pendapat peribadi saya,” kata Espargaro.
Ketika jendala pengambilan pelumba oleh pasukan Repsol Honda semakin tertutup, Zarco kini dikatakan bakal menyertai pasukan Marc VDS, jika Alex berpindah ke kelas premier.
Walaupun mungkin ada satu tempat dalam pasukan Avintia Ducati, Zarco bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak bersedia untuk kembali menjadi tidak gembira seperti di KTM dengan menyertai pasukan yang tidak mempunyai motosikal yang terbukti bagus.
Lebih baik turun ke Moto2 dan letak sasaran memenangi kejuaraan kali ketiga, katanya.