
ISUZU D-MAX GENERASI KEDUA
Akhirnya, trak pikap popular keluaran Isuzu iaitu D-Max generasi kedua dilancarkan secara rasmi malam semalam. Walaupun agak lambat masuk ke pasaran tempatan kerana pengguna di Thailand sudah pun mula memandunya sejak tahun 2011, model baharu ini nyata berbaloi untuk ditunggu.
Di Thailand, D-Max baharu nyata mencipta gelombang populariti di sana. Dalam tempoh kurang dua tahun, jumlah jualan sudah mencecah lebih 250,000 unit! Kalau dilihat pada prestasi jualannya, lebih 2.5 juta D-Max telah terjual di 80 buah negara seluruh dunia.
D-Max diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2003. Sejak itu, trak pikap tersebut telah menerima proses penambahbaikan beberapa kali. Ini bagi membuatkannya kekal relevan dalam segmen trak pikap yang begitu sengit.
Dalam tempoh itu, lebih 30,000 unit D-Max sudah menemui pemiliknya. Rata-ratanya berpuas hati dengan prestasi, ketahanan, kebolehpercayaan dan penjimatan bahan api yang ditawarkan oleh D-Max. Memang itu pun selling points sebuah D-Max.
“Isuzu D-MAX terdahulu telah menetapkan standard cukup tinggi dari segi ketahanan, kebolehpercayaan dan penjimatan bahan api. Pasukan jurutera Isuzu bukan sekadar meningkatkan ciri-ciri utama ini. Malah pakej keseluruhan seperti keselesaan, keselamatan dan prestasi pada Isuzu D-MAX serba baharu ini juga telah dibawa ke tahap lebih tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kimitoshi Kurokawa.
Kini, D-Max tampil dengan lebih bersedia dari semua segi untuk menawan hati bakal pembelinya di Malaysia. Harus tahu bahawa model itu merupakan hasil daripada program pembangunan paling komprehensif dalam sejarah Isuzu Motors.
Program pembangunan itu melibatkan penyelidikan dan kaji selidik pelanggan di seluruh dunia secara ekstensif. Segalanya demi memastikan semua kehendak pengguna dalam spektrum yang lebih luas mampu dipenuhi.
Maka tidak hairanlah jika bagi menjadikan D-Max benar-benar tahan lasak, trak pikap itu telah menjalani ujian sejauh lebih 4 juta kilometer!
Sama seperti generasi pertama, D-Max baharu turut dibangunkan bersama pihak General Motors (GM). Namun Isuzu mengetuai proses pembangunan tersebut. Produk yang mereka hasilkan iaitu D-Max dan Chevrolet Colorado berbeza dari aspek enjin, transmisi, dinamik pemanduan dan gayaan luaran. Apa yang sama cuma platform dan ruang dalamannya sahaja.
Dari segi saiz, dimensi trak pikap itu telah bertambah pada setiap sudut. Hasilnya, ia menawarkan ruang kabin dan kargo lebih luas. Di samping penampilan lebih maskulin dan agresif.
Bukan itu sahaja, profail rekaan badan yang berbentuk seperti baji itu direka untuk kecekapan. Rekaan tersebut dicipta menggunakan kemudahan terowong angin milik Institut Penyelidikan Teknikal Kereta Api Jepun. Ia merupakan kemudahan sama yang digunakan untuk membangunkan kereta api laju Jepun yang terkenal itu.
Hasilnya, tahap pekali seretan (coefficient of drag, Cd) trak pikap itu adalah yang paling rendah dalam kelasnya. Sekali gus menjadikan Isuzu D-Max sebuah kenderaan yang lebih senyap dan cekap terutama ketika memecut di lebuh raya.
Jentera itu dikuasakan oleh unit enjin 2.5 liter Super Commonrail baharu bersama sistem turbo Variable Geometry System (VGS) yang dikawal oleh komputer. Enjin berkenaan bukan sahaja memberikan maklum balas pendikit dan prestasi yang lebih baik, malah para jurutera Isuzu berjaya mengimbanginya dengan mengurangkan emisi ekzos serta penggunaan bahan api lebih efisien.
Enjin baharu dengan kod nama 4JK1-TCX itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 100kW (136PS) @ 3,600 rpm dan tork 320Nm di antara 1,800rpm hingga 2,800rpm. Ia sememangnya lebih berkuasa jika dibandingkan dengan prestasi enjin 3.0 liter sebelum ini.
Berbanding enjin 2.5 liter terdahulu, kuasa dan tork enjin baharu meningkat sebanyak 17 dan 14 peratus. Selain memaksimumkan kecekapan enjin, pengecas turbo VGS turut berfungsi menghilangkan ‘turbo lag’ bagi memberikan pecutan lebih pantas. Saiz intercooler juga ditingkatkan bagi menambah baik prestasi penyejukan dan memastikan suhu operasi yang konsisten untuk jangka hayat enjin lebih lama.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan pilihan kotak gear lima kelajuan manual atau automatik bersama mode penukaran berurutan bagi memberikan kawalan sepenuhnya kepada pemandu.
Bagi menjadikannya lebih selamat, Isuzu D-Max dilengkapi pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif. Selain penambahbaikan ketara pada chasis dan dinamik tubuh, D-Max hadir bersama ciri-ciri keselamatan sofistikated seperti Traction Control System (TCS), Electronic Stability Control (ESC), ABS dengan Electronic Brake Distribution (EBD) dan Brake Assist.
D-Max ditawarkan melalui lima varian berbeza. Selain pacuan roda, enjin, transmisi dan aksesori, varian turut dibezakan oleh ciri keselamatan termasuklah jumlah beg udara yang ada padanya.
Isuzu menyatakan bahawa ruang kabin D-Max sekarang sudah seperti sebuah SUV. Selepas duduk beberapa ketika di dalamnya, saya bersetuju dengan kenyataan tersebut. Ruang kokpitnya kini semakin luas, moden dan mewah.
Ketika mereka semula ruang kabin, pereka Isuzu memastikan semua butang kawalan diposisikan agar mudah dicari dan dicapai. Sebagai contoh, posisi pemilihan mod pacuan empat roda sebelum ini diletakkan pada fascia papan pemuka. Kini, tombol itu diletakkan lebih hampir dengan pemandu dan tuil gear. Ini membolehkan pemandu untuk memilih mod pemanduan tanpa perlu mengalihkan pandangannya daripada jalan raya.
Kefungsian ruang juga dipertingkatkan. Anda kini mempunyai sepuluh tempat meletak minuman dan 15 kompartmen barang, termasuklah di bahagian bawah tempat duduk belakang.
Untuk keselesaan maksimum penumpang, tempat duduk belakangnya mempunyai sudut kedudukan terbaik dalam kelasnya. Ketiga-tiga orang penumpang belakang mempunyai perehat kepala dan tali pinggang keledar tiga poin sendiri. Jika tiada penumpang di tengah, perehat tangan boleh diturunkan untuk menambah keselesaan. Untuk mereka yang mempunyai anak kecil, ciri ISOFIX disediakan.
Berita baik untuk peminat muzik, D-Max kini dilengkapi sistem audio mewah yang mampu menghasilkan bunyi berkualiti tinggi. Di samping pembesar suara, Sistem Audio Premium Isuzu juga meliputi sepasang tweeter ‘exciter’ yang dipasang kemas pada kemasan bumbung di bahagian atas kepala penumpang.
Pendek kata, D-Max ialah satu makhluk baru yang wajar diberi perhatian. D-max hadir dalam lima warna menarik iaitu merah, kelabu, hitam, putih dan perak.
[hr]




























