Artikel Pilihan

JEJAK KERETA : KENANGAN MENGUSIK JIWA

Kata orang kenangan cinta lama memang sukar nak dilupakan. Ia ibarat dah terpahat dalam hati. Biarpun patah tumbuh berganti namun bila rindu datang lagi,
gundah gulana tidak terperi.

Masih ingatkah anda semua dengan kereta pertama yang anda miliki atau pun dalam banyak-banyak koleksi kereta yang anda ada dah tentu ada satu kereta yang
memberikan sedikit kenangan atau nostalgia tertentu. Artikel ini membawa sedikit kisah di dua negara yang agak menarik untuk dikongsikan.

KISAH 1 : MALAYSIA

Baru-baru ini kisah Arwah Encik Ismail Jaafar menjadi tular di media. Jika kisah ini tidak tular, mungkin ramai yang tidak tahu yang beliau merupakan insan yang telah memenangi pertandingan menamakan model pertama Proton pada 1985. Kemenangan beliau membolehkan beliau membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3.

Sebelum pelancaran Saga pada 1 September 1985, sejumlah 102,823 penyertaan telah diterima Proton dalam pertandingan tersebut dan nama ‘Saga’ yang diberikan oleh Ismail diangkat sebagai pemenang. Saga yang diletakkan pada kereta nasional pertama ini adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Agility (Ketangkasan).

Setelah berbelas tahun memliki Proton Saga itu, Encik Ismail dikhabarkan terpaksa menjual kereta tersebut bagi menampung pembayaran pinjaman perumahan serta perbelanjaan pendidikan anaknya. Namun setelah beberapa ketika ibarat kenangan cinta lama muncul kembali, beliau telah menyatakan hasrat kepada anak-anaknya untuk memiliki kembali Saga tersebut.

Sebelum itu, anaknya telah menghadiahkan sebuah Gen2 dengan no pendaftaran yang sama, namun hasrat Allahyarham untuk memiliki kembali Saga tersebut tidak terhenti sehinggalah beliau meninggal dunia pada 12 Januari lalu.

Usaha berterusan anak-anak beliau berhasil apabila berjaya mengesan Saga arwah bapa beliau di Pendang, Kedah. Namun Saga tersebut telah mengalami banyak pengubahsuaian termasuklah warna asalnya. Hingga kini, usaha rundingan dengan pemilik barunya juga sedang berjalan. Semoga hasrat Allahyarham Ismail agar Saga tersebut kembali ke tangan keluarga mereka tercapai.

PENDANG 15 JANUARI 2018. Che Far Talib, 66, (kanan) menjaga kereta Proto Saga yang pernah dimiliki oleh Pencipta nama kereta terbabit dengan baik sejak membelinya pada tahun 1991.STR/NUR SYAZWANA MANSOR

KISAH 2 : AMERIKA SYARIKAT

Kisah bermula pada tahun 1983 dari negara Uncle Sam ini pula berkisar kepada John Schnatter yang mengalami masalah mengekalkan modal bisnes keluarga yang membawa kepada penjualan satu-satu harta beliau yang paling berharga iaitu sebuah Camaro Bumblebee 1971 Z28.

Bermodalkan jualan kereta itulah John mengembangkan bisnes pizza keluarganya iaitu Papa Johns Pizza yang kini telah berkembang hingga mencecah hingga 3000 cawangan ke 26 negara.

Bila dah kaya, John merasakan adalah wajar memiliki kembali Camaro yang banyak berjasa tersebut. Tahap seriusnya beliau untuk memiliki kereta tersebut boleh dilihat bila beliau mengupah bekas ejen FBI untuk menjejaki kereta itu namun gagal. John juga menawarkan ganjaran wang tunai sehingga $250,000 kepada mereka yang memberi maklumat sehingga terjumpanya Camaro tersebut. Meskipun begitu usaha ini telah memakan bertahun-tahun.

Kesukaran ini termasuklah pada era tersebut sebarang transaksi jualan tidak direkodkan secara elektronik. Jadi, untuk mengesan dan menjejak mengambil masa lebih 26 tahun.

Kemudian datanglah era dan kuasa media sosial bila mana kisah ini telah dipaparkan di Facebook dan blog- blog automotif Amerika yang akhirnya hasilnya berbaloi.

Seorang pembaca bernama Sloan telah menghubungi John mengatakan pernah memiliki dan menjualnya kepada seseorang bernama Jeff Robinson di Kentucky.

Nasib menyebelahi John apabila pemilik barunya mengekalkan kebanyakan bahagian luaran kereta itu dalam bentuk asal yang menyebabkan John mudah mengenalinya. Perubahan yang dilakukan hanyalah pada hood dan tayar jenis perlumbaan serta bahagian enjin yang kini dah ditala untuk perlumbaan drag dengan 825 kuasa kuda!

Kalau jodoh memang tak ke mana..

Sumber : Papa John’s International Inc.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button