Buletin

BERAPAKAH HARGA YAMAHA Y15ZR TERPAKAI YANG BOLEH ANDA BELI?

Ketika dilancarkan, harga jualannya diumumkan sekitar RM8,000 lengkap dengan GST. Tak perlu tunggu lama, dengan industri motosikal yang tidak ada kawalan harga, “harga kedai” tidak pernah ada yang sama. Kalu pandai cari, boleh dapat bawah RM9,000 atas jalan lengkap dengan insurans 1st party dan cukai jalan.

Purata harga Y15ZR hari ini ialah RM9,500 atas jalan bergantung pada stok dan di mana anda membelinya. Itu model biasa. Edisi Movistar? bersiap sedia untuk membayar harga setinggi RM11,500 dan ada tempat yang menjual sehingga RM12K atau lebih. Sekali lagi bergantung kepada permintaan dan penawaran dan kawasan mana anda tinggal

BACA: TUNGGANG UJI YAMAHA Y15ZR

Kali ini kita akan lihat bagaimana trend Y15ZR ini mengubah lanskap motosikal terpakai di Malaysia. 

Seperti yang kita sedia maklum, untuk motosikal jenama Jepun, sejak dari zaman 90-an lagi Yamaha mempunyai nilai jualan balik yang bagus. Model seperti Yamaha Sports 100, SS100, Racing Spirit, Lagenda, RXZ dan 125ZR adalah contohnya (kecuali TZM yang sendu).

Suzuki pernah mengecapi sekejap zaman harga bagus ni menerusi model RG Sports dan RGV120. Tapi Panther dan Gamma harganya tidak cemerlang.

Honda pernah bagus harga EX-5 tetapi masih tidak sebagus Yamaha sementara Kawasaki tiada model yang mampu mempertahankan harganya dengan baik (kecuali setelah RR150 dihentikan pengeluarannya)

Baiklah, berapa bagus harga sebuah Y15ZR di pasaran terpakai?

Berikut ialah harga pasaran yang sempat kami kaji di laman jualbeli tempatan dan juga laman iklan facebook. Harga di bawah ini adalah harga jualan purata bagi sebuah motosikal standard tanpa ubahsuai, tanpa aksesori dan tanpa nombor pendaftaran yang menarik.

  • Yamaha Y15ZR keluaran 2015 – RM6,000 – RM6,500
  • Yamaha Y15ZR keluaran 2016 – RM6,500 – RM7,000
  • Yamaha Y15ZR keluaran 2017 – RM7,000 – RM7,500
  • Yamaha Y15ZR keluaran 2018 – RM7,500 – RM8,000

Ini adalah panduan harga jika anda nak membeli Y15ZR di pasaran terpakai sekarang. Tidak banyak bezanya dengan harga jualan baru di kedai pun sebenarnya.

Misalnya harga jualan model pertama tahun 2015 masih lagi pada lingkungan 6,500. Agak bagus memandangkan pada ketika dilancarkan, harga jualan model ini sekitar RM8,800 (atas jalan dengan insurans)

Ia penyusutan yang rendah, sekitar 20 peratus hingga 25 peratus sahaja

Bagi model 2016, pula penyusutan harga sekitar 18 peratus dan model 2017 masih sekitar 13 peratus.

Sebenarnya, untuk model 2018 terpakai, harga jualan kadangkala tidak munasabah. Untuk RM8,000, ia sebenarnya perbezaan yang sangat kecil berbanding motosikal baru jika dimasukkan sekali kos insurans.

Perlu diingatkan insurans komprehensif (1st party) motosikal ini tidak murah. Ia boleh mencecah RM500 untuk model 2018!

BACA: CUKAI JALAN MATI SETAHUN. TAK PERLU KE PUSPAKOM

Jadi adakah berbaloi membeli Y15ZR terpakai?

Bergantung kepada bajet anda dan juga kondisi motosikal. Kami pernah jumpa sebuah model 2017 yang hendak dijual dibawah harga pasaran. Tapi macam biasa, iklan 5 minit tak sempat nak telefon dah terus kena sambar.

Membeli model terpakai tetap ada risiko yang sama iaitu kondisi. Jika membeli model awal 2015, cuba dengar bunyi enjin yang kadangkala bising akibat masalah one-way bearing.

Enjin Y15ZR ini sangat sensitif dengan minyak pelincir. Motosikal yang dijaga dengan baik, kerap menukar pelincir lazimnya enjinnya senyap walaupun mileage tinggi.

Tapi kalau owner jenis kedekut dan pemalas, enjin memang bising. Apa lagi jenis suka pakai minyak hitam murah.

Apapun, semua pilihan di tangan anda. 

Tags
Google ads
Back to top button