Buletin

JUAL 2,000 KUNCI FOB CURI DI EBAY. RAIH UNTUNG HAMPIR RM260,000

Seorang lelaki didakwa dipercayai mencuri hampir 2,000 kunci fob dari kenderaan-kenderaan baharu ketika dia bekerja di tempat simpanan kereta api.

Bermula pada Disember 2017, pelbagai kenderaan seperti Ford, FCA dan General Motors dihantar di seluruh Amerika Syarikat melalui laluan kereta api.

Penghantaran dilakukan bermula dari New Boston, Michigan dengan para pengedar hanya menerima satu daripada dua kunci fob yang disediakan pengeluar kereta.

Pihak berkuasa mula melakukan siasatan terperinci berhubung masalah tersebut apabila anak syarikat CSX Transportation menerima aduan daripada pengeluar kenderaan berhubung kehilangan kunci fob itu.  

Menurut afidavit daripada Inspektor pos yang difailkan dengan aduan jenayah, Jason Gibbs, 41 yang merupakan pekerja kontrak CSX Auto Warehousing Co. mencuri kunci fob terbabit dan menjual di eBay.

Dia memperoleh $60,570 (kira-kira RM260,000) dalam proses transaksi berkenaan, lapor Detroit Free Press.

Jelas afidavit itu, kenderaan-kenderaan di tempat simpanan rel tidak berkunci dan didatangkan bersama dua kunci fob.  

Sebahagian daripada tugas Gibbs adalah memandu dan menyusun kenderan-kenderaan terbabit di tempat parkir sebelum ia dimasukkan ke dalam kereta api oleh porter terlatih Auto Warehousing Company.

Ketika siasatan semakin panas, Ford Global Brand Production Group membeli tiga kunci fob dari akaun eBay dengan nama i_live-12volts.

Kunci berkenaan berkait rapat dengan model F-150 yang dibawa keluar dari tempat simpanan di New Boston.

Akaun eBay berkenaan didaftar dengan nama Kerry Reyna yang merupakan kawan Gibbs di platform Facebook manakala akaun PayPal pula menggunakan nama scarpone21. Ia merupakan nama pengguna Gibbs dalam profil Instagram.    

Selain itu, wang pos untuk bungkusan berisi kunci fob F-150 itu dibayar dengan menggunakan kad debit atas nama Gibbs.

Pihak berkuasa telah menggeledah kediaman dan menyoal siasat Gibbs. Mereka mendakwa lelaki berkenaan telah menjual sebanyak 1,914 kunci fob antara 15 Disember 2017 hingga 16 Mei 2018.

Sebilangan besar kunci fob tersebut dibeli pembeli yang sama di California dan menjualnya di eBay pada harga $69 (RM294.15) dan $160 (RM 682).

Gibbs telah didakwa di mahkamah persekutuan di Detroit kerana mencuri barang dari penghantaran antara negeri.- carscoops

 

Google ads
Back to top button