Buletin

JUALAN KERETA DI CHINA SEPARUH PERTAMA 2024 CATAT LEBIH 14 JUTA UNIT

Jualan kereta di China pada separuh pertama 2024 mencatatkan angka yang mengagumkan iaitu 14,047,000 unit.

Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Lebih menarik, kereta tenaga boleh diperbaharui mencatatkan jualan tertinggi, mengatasi kereta petrol.

Menurut data yang dikeluarkan oleh China Passenger Car Association (CPCA) dan China Association of Automobile Manufacturers (CAAM), jualan kereta tenaga baharu pada separuh pertama 2024 mencapai 4,944,000 unit, menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 32 peratus.

Untuk rekod, kenderaan mesra alam ini kini menguasai 35.2 peratus bahagian pasaran di China.

Sumber dari Carnewschina berkata BYD merupakan jenama terlaris di China pada separuh pertama tahun ini dengan jumlah jualan sebanyak 1,607,000 unit.

Volkswagen di tempat kedua dengan jualan 1,266,000 unit, manakala Chery di tempat ketiga (1,057,000 unit).

Dalam kalangan pengeluar Jepun, Toyota berada di tempat keenam dengan jualan sebanyak 644,700 unit, diikuti Honda di tempat kelapan dengan hasil jualan 444,700 unit.

Secara keseluruhan, volum jualan jenama domestik China mencecah 5,559 juta unit, meningkat 17.8 peratus tahun ke tahun, dengan bahagian pasaran sebanyak 56.5 peratus.

Sebaliknya, jualan kumulatif jenama Jerman merekodkan angka 1,907 juta unit, mengalami penurunan sebanyak 6.2 peratus dari tahun ke tahun, dengan bahagian pasaran sebanyak 19.4 peratus.

Jualan jenama Amerika dan Perancis juga menunjukkan penurunan masing-masing sebanyak 19.2 peratus serta 19.1 peratus.

Data ini menunjukkan bahawa kereta tenaga baharu buatan China mendominasi pasaran, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri automotif global yang semakin menekankan kemampanan dan teknologi hijau.

Google ads
Back to top button