Artikel Pilihan

BAWA ALAT GANTI SENDIRI KE BENGKEL – PATUT ATAU TIDAK ?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan dilema yang sering melanda para pemilik bengkel serta pemilik kereta iaitu apabila pelanggan membawa barang sendiri ke bengkel.

Untung. Ini lah yang kedua-dua belah pihak bila melakukan transaksi perniagaan atau muamalat. Pihak bengkel mahukan untung. Begitu juga dengan pelanggan. Masalah timbul apabila pihak pelanggan menganggap pihak bengkel cuba mengambil untung berlebihan.

Jadi dengan itu, pelanggan merasakan sebaiknya mereka membawa alat ganti sendiri dan meminta pihak bengkel untuk menukar barang tersebut. Tindakan mereka ini didorong dengan anggapan bahawa cara ini paling efisyen untuk membaik pulih kenderaan dengan harga yang murah.

Namun begitu, sudah hukum alam apa yang kita lakukan akan mempunyai kesan dan akibat. Kesan dan akibat daripada tindakan ini adalah lebih banyak buruknya berbanding baik.

Berikut adalah sebab kenapa anda jangan membawa alat ganti sendiri ke bengkel :-

1. ALAT GANTI YANG SALAH

Kenderaan sekarang mempunyai banyak varian. Maksudnya, model sama, namun varian yang berlainan. Belum cerita lagi keluaran edisi khas.

Sebagai contoh, BMW E92 M3. Ada varian “Base”, “GTS” dan “CRT”. Walaupun ketiga-tiga carian ini adalah model M3, namun disebabkan varian berlainan, alat ganti bagi setiap varian ini juga adalah berlainan. Sistem suspensi dan alat ganti enjin adalah berlainan. Belum cerita tentang sistem transmisi lagi.

Disebabkan itu, adalah dinasihatkan supaya pelanggan menyerahkan tugas ini kepada pihak bengkel untuk mencari alat ganti yang sesuai untuk jentera anda. Alat ganti yang salah akan membazirkan masa anda dan pihak bengkel.

2. TIADA JAMINAN

Perkara ini anda mesti faham. Anda yang membeli dan membawa alat ganti tersebut, segala tanggungjawab serta liabiliti terhadap alat ganti tersebut adalah di bawah tanggunan anda.

Jadi, jika ada sesuatu yang buruk berlaku ketika proses pemasangan atau selepas siap, anda tiada hak untuk menuntut ganti rugi daripada pihak bengkel.

Sekarang juga saya perhatikan sudah banyak pihak bengkel akan mengeluarkan “Indemnity Form” yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab sekiranya apa-apa berlaku terhadap alat ganti serta jentera anda sekiranya anda membawa barang sendiri. Selagi anda tidak setuju dengan syarat yang dikenakan, mereka tidak akan mulakan kerja.

Hmm, sampai macam tu ?

Ye Tuan-Tuan. Anda nak untung, orang lain yang kena tanggung rugi. Hebatnya kamu ? Yakinnya kamu ?

3. KOS

Ada yang beranggapan bahawa bengkel mengambil untung lebih. Lalu mereka memutuskan untung membeli sendiri alat ganti tersebut. Untuk pengetahuan, kebanyakan bengkel akan mengambil untung kira-kira 20% – 30% daripada harga pasaran.

Bagi muslimin dan muslimat sekalian. Mazhab Syafi’ie dan Malik menyatakan untung yang dibenarkan adalah tidak lebih daripada 34% daripada harga pasaran.

Namun apa yang cuba disampaikan disini ialah, disebabkan anda hendak berjimat 30% tersebut, anda akan terdedah kepada risiko alat ganti yang salah dan alat ganti yang tidak berkualiti. Risiko-risiko ini akan menjurus kepada peningkatan kos yang perlu dikeluarkan oleh anda. Belum cerita kos petrol anda pergi ulang alik sana sini.

Mungkin ada yang cakap, “Alah, kalau ada “Part Number” senang je, takkan salah punya”.

Tuan-tuan, tidak banyak bengkel serta kedai alat ganti akan memberitahu “part number” yang anda perlukan itu.

Itu hak mereka untuk tidak memberitahu. Anda tidak boleh memaksa. Lagi satu, anda pernah dengar “Supersede Part Number” ?

“Supersede Part Number” adalah dimana pihak pengeluar menukar “Part Number” komponen tersebut, jika ini berlaku, anda akan mengalami kesukaran untuk mencari alat ganti yang sesuai untuk jentera anda.

Jenama seperti Audi, Volkswagen, Land Rover merupakan jenama yang kerap melakukan “Supersede Part Number”. Solusinya ? Serahkan pada yang pakar iaitu pihak bengkel.

4. HARGA UPAH YANG TINGGI

Perkara ini normal. Pihak bengkel akan meletakkan caj yang tinggi sedikit daripada harga biasa jika anda membawa alat ganti sendiri. Hal ini kerana mereka tidak mengambil untung satu sen pun pada alat ganti yang anda bawa itu.

Hanya upah.

Untuk pengetahuan, di pusat-pusat servis yang besar, upah mereka adalah berdasarkan jam (hours). Caj bagi satu jam kebiasaannya RM70-RM90. Bagi jenama-jenama Eropah adalah lebih tinggi.

Di bengkel-bengkel biasa berdasarkan pemerhatian saya tak ramai yang ikut formula ini. Mereka hanya lebih kurang sahaja dengan pelanggan. Jadi, jika bengkel-bengkel ini caj lebih sedikit pun, tidak akan sama dengan apa yang anda perlu bayar di pusat servis.

*Pusat servis kebiasaannya tidak layan pelanggan yang nak bawa barang sendiri ini. Mereka tidak akan membazirkan masa mereka dengan keuntungan yang tidak seberapa.

5. REDHA MEKANIK/PIHAK BENGKEL

Ada kena mengena ke ? Ada Tuan-Tuan. Allah SWT berfirman di dalam Surah An-Nisa ayat 29

‎بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ
‎ .كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kami makan (gunakan) harta-harta kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah maha mengasihani kamu.

Apa lagi nak cakap ? Dalam Al-Quran sendiri sudah tertulis. Perniagaan hendaklah dilakukan secara suka sama suka tanpa ada sebarang bentuk penindasan. Tidak ada dan tidak akan ada pihak bengkel yang suka jika pelanggan bawa sendiri alat ganti mereka. Perasaan ikhlas serta redha tu sudah tiada.

Dari sini akan timbulnya rasa benci dan sakit hati lalu membawa kepada kemudharatan. Di dalam ayat diatas juga Allah SWT berfirman janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Maksudnya amat mendalam. Dalam tak sedar perbuatan anda ini akan membunuh perniagaan pihak bengkel tersebut.

Dah lah bawa barang sendiri, upah hutang pulak tu. Bila kereta ada masalah viralkan pula kata bengkel itu ini. Sudahnya bengkel pun tutup. Tahniah, anda sudah berjaya menjadi “pembunuh”.

Jadi Tuan-Tuan. Banyak buruk daripada baik tindakan bawa alat ganti sendiri ni. Nampak mudah, tapi besar kesan dan akibatnya.

Namun, ada ketika pihak bengkel sendiri akan mengesyorkan anda membawa alat ganti sendiri. Hal ini akan berlaku jika anda mahu :

– Melakukan modifikasi
– Alat Ganti berprestasi tinggi
– Alat Ganti yang susah didapati.

Ye lah, dah anda bawa Lancia Delta Integrale tak pun Lamborghini Murcielago. Memang susah nak jumpa alat gantinya di Malaysia.

Perkara ini tidaklah terlalu leceh sebenarnya. Yang penting kena ada persefahaman diantara kedua belah pihak. Pihak bengkel nak berniaga, nak bagi makan kepada keluarga mereka dan keluarga staf-staff mereka. Anda pula mahukan jentera anda dibaik pulih supaya berada dalam keadaan baik. Tujuannya jelas. Pihak bengkel tahu kemahuan anda, anda pun tahu kemahuan pihak bengkel.

Jika anda seorang pemilik restoran, anda suka ke pelanggan datang ke restoran anda bawa makanan sendiri ? Lepastu dah makan sakit perut salahkan anda pula. Sakit hati bukan ? Begitulah perasaan pemilik-pemilik bengkel ini Tuan-Tuan.

Semoga perkongsian kali ini memberikan manfaat kepada kita semua. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Pihak bengkel dan pelanggan saling memerlukan. Jangan lah kita bermusuh-musuhan.

Tags
Google ads
Back to top button