Buletin

KERETA TESLA PENUH DI PARKIR PELABUHAN MELBOURNE – TAK LAKU, CETUS TANDA TANYA

Gambar tempat letak kereta penuh dengan kenderaan Tesla tidak terjual di Pelabuhan Melbourne telah mencetuskan perbincangan hangat mengenai pasaran kenderaan elektrik (EV) yang mungkin tidak sekukuh seperti dipercayai oleh pengeluar.

Setiap bulan, sekitar 2,000 Tesla tiba di pelabuhan tersebut, namun ketiadaan pembeli untuk membawa pulang kereta-kereta ini menimbulkan tanda tanya besar.

Peter Anderson dari Persatuan Pengangkutan Victoria memberitahu 7News, “Tiba-tiba kami mempunyai banyak Tesla yang tertunggak.

“Tesla biasanya datang ke negara ini sebelum dijual. Yang ini tidak, ia duduk di sini menunggu pembeli.”

Data jualan Tesla menunjukkan penurunan yang signifikan sebanyak 44 peratus pada bulan April, walaupun syarikat tersebut telah membuat potongan harga baru-baru ini dalam usaha untuk bersaing dengan pasaran EV China.

Sebagai contoh, harga Tesla Model Y yang serba baharu telah diturunkan sebanyak AS$11,400 (RM53,538).

Tidak hanya Tesla, syarikat automotif lain juga turut mengurangkan harga untuk menarik pembeli. Peugeot e2008 telah diberi potongan harga besar-besaran daripada AS$63,000 (RM295,869) kepada AS$39,990 (RM187,384), sementara GWM Ora turun 20 peratus, kepada AS$35,990 (RM169,023).

Walaupun adanya usaha pemotongan harga, keseluruhan jualan kereta EV merosot lima peratus pada bulan April, selepas mengalami pertumbuhan yang pesat selama tiga tahun terakhir.

Pakar industri kereta mengatakan bahawa industri EV sedang bergelut untuk berkembang melepasi fasa pengguna awal, menyalahkan infrastruktur pengecasan dan angka jualan semula yang lemah.

Bercakap kepada Sky News, pakar kereta Caleb Bond menyatakan, “Pasaran benar-benar perlahan, orang ramai tidak membelinya kerana mereka telah membuat keputusan bahawa semuanya adalah palsu.”

Bond turut menambah bahawa kerana teknologi EV juga bertambah baik setiap tahun, kereta elektrik lama menyusut nilai dengan cepat.

“Tidak hairanlah orang ramai tidak membelinya,” tambahnya.

Walaupun terdapat potensi besar dalam teknologi hijau, pelbagai isu seperti nilai jualan semula yang rendah, dan kekurangan infrastruktur pengecasan terus menjadi halangan utama.

Pengeluar kenderaan perlu mencari penyelesaian yang lebih efektif untuk mengatasi cabaran ini dan menggalakkan lebih ramai pengguna untuk beralih kepada kenderaan elektrik.

Google ads
Back to top button