
KIA SORENT0 2023 RASMI DILANCARKAN. 3 VARIAN, 2 PILIHAN ENJIN, 6/7 SEATER, BERMULA RM211K
Pengedar kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors hari ini secara rasmi melancarkan tawaran SUV terbaharunya, Kia Sorento ke pasaran tempatan.
Sejak melakukan debut global pada tahun 2002, Sorento menjadi antara model paling laris Kia. Ia juga merupakan bukti keupayaan Kia dari segi reka bentuk dan kejuruteraan SUV.
Generasi keempat Sorento itu sebelum ini pernah dipertontonkan kepada media pada Januari lalu. Bagi menawarkan harga yang lebih mampu milik, SUV berkenaan akan hadir sebagai model pemasangan tempatan (CKD).

Varian dan harga Sorento 2023 adalah seperti berikut:
- Kia Sorento 2.5L 2WD (7 tempat duduk) – RM211,498
- Kia Sorento 2.5L AWD (6 tempat duduk) – RM235,498
- Kia Sorento 2.2L Diesel 2WD (6 tempat duduk) – RM255,228
SUV segmen D itu hadir dengan bahasa rekaan Kia terkini yang terdiri daripada rekaan garis-garis tajam. Selain rekaan gril LED hidung harimau moden, penampilan Sorento 2023 diserlahkan lagi dengan lampu belakang yang diposisikan secara menegak dan terpisah.
Lampu utama disepadukan bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED. Rekaan bahagian hadapan itu nampak semakin garang dengan corong pengambilan udara lebar, spoiler dan skid plate.
Sekali pandang, bahagian belakang nampak seperti rekaan Hyundai Palisade. Gayaan tersebut disempurnakan lagi dengan rim 18 atau 19 inci bergantung kepada varian yang dipilih.

Dari segi dimensi, Sorento adalah sepanjang 4,810mm, lebar 1,900mm, tinggi 1,700mm dengan jarak antara roda 2,815mm. Jentera tersebut didatangkan dalam dua susun atur tempat duduk iaitu tujuh dan enam tempat duduk.
Sorento akan ditawarkan dalam dua pilihan enjin dan susun atur tempat duduk. Varian tujuh tempat duduk (2-3-2) menggunakan enjin petrol Smartstream 2WAD berkapasiti 2.5 liter MPi aspirasi biasa (NA) yang mampu menjana kuasa 177hp dan tork 232Nm. Enjin Smartstream dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Model dengan konfigurasi enam tempat duduk (2-2-2) hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 2.5L ‘Smartstream’ AWD petrol dan 2.2L ‘Smartstream’ AWD diesel. Enjin diesel CRDi berkuasa 199hp dan 441Nm itu pula dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan klac berkembar.
Varian diesel juga hadir dengan ciri Terrain Mode untuk memberi lebih kawalan serta kestabilan ketika berada di atas laluan berlumpur, berpasir dan bersalji.

Ruang kabin menampilkan susun atur papan pemuka yang menerapkan bahasa rekaan ‘Functional Emotions’. Ruang itu tampil mewah menerusi penggunaan material berkualiti tinggi, selain upholsteri kulit, kemasan kayu dan metalik.
Papan pemuka dipasang dengan skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci. Tidak ketinggalan pad pengecasan tanpa wayar di konsol tengah, skrin kluster instrumen 12.3 inci, sistem audio Bose bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Sistem lampu ambien membuatkan ruang dalaman rasa lebih mewah. Mengecas peranti pintar pasti lebih mudah dengan adanya empat slot USB untuk penumpang di baris kedua dan ketiga.
Dari segi keselamatan Sorento dilengkapi ciri-ciri standard seperti 6 beg udara, ABS, EBD, Brake Assist (BA), Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS), Multi-Collision Brake Control (MCB), Hill-start Assist Control (HAC) dan ISOFIX.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan ciri High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision Warning (BCW), Blind-spot Collision Avoidance (BCA), Blind-spot View Monitor (BVM) untuk varian 2.5L Smartstream High dan 2.2D Smartstream High , Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Lane Keeping Assist (LKA) , Drive Attention Warning (DAW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan Junction Turning), Lane Following Assist (LFA) dan Smart Cruise Control.
Sorento 2023 didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu biru, kelabu, putih mutiara, perak dan hitam. Penyerahan SUV itu dijangka bermula pada Mac 2023.
- BACA: KIA SORENTO 2023 KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN. PILIHAN ENJIN 2.5L PETROL DAN 2.2 DIESEL, BERMULA RM220K
- BACA: KIA SORENTO PHEV TORK 350 NM! (TORK ITU PENTING)
- BACA: KIA SORENTO DITAMBAH BAIK
- BACA: KIA CARNIVAL 2022. 11 TEMPAT DUDUK, ENJIN TURBO DIESEL 2.2 LITER. BERMULA RM196K
GALERI


















