Buletin

KIA SORENTO 2023 KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN. PILIHAN ENJIN 2.5L PETROL DAN 2.2 DIESEL, BERMULA RM220K

Bermaz Auto Alliance menerusi anak syarikatnya Dinamikjaya Motors baru-baru ini mendedahkan SUV Kia Sorento serba baharu untuk tatapan pengamal media. 

Generasi keempat Sorento sebenarnya telah membuat kemunculan di peringkat global pada tahun 2020. Bagi pasaran tempatan, ia bakal ditawarkan dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD). 

Dari segi luaran, Kia Sorento 2023 membawakan bahasa rekaan Kia yang terkini. Ia hadir dengan unit lampu utama yang lebih tajam dan rekaan muncung hidung harimau moden. Bahaian belakang diserlahkan menerusi lampu belakang yang diposisikan secara menegak dan terpisah. Sekali pandang macam rekaan Hyundai Palisade pun ada.

Dari segi dimensi Kia Sorento 2023 adalah sepanjang 4,810mm, lebar 1,900mm, tinggi 1,700mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,815mm. Jentera tersebut didatangkan dalam dua susun atur tempat duduk iaitu tujuh dan enam kerusi.  

Sorento akan ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu enjin petrol Smartstream berkapasiti 2.5 liter MPi yang mampu menjana kuasa 177hp dantork 232Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Kelajuan maksimum adalah sekitar 195km/j.

Versi diesel turut disediakan enjin 2.2 liter diesel turbo CRDi berkuasa 199hp dan 441Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke sistem pacuan semua roda (AWD) yang pastinya menawarkan pengalaman pemanduan lebih meyakinkan melalui kotak gear klac berkembar 8 kelajuan.

Bermaz Auto Alliance juga tidak menyangkal kemungkinan Kia Sorento bakal ditawarkan dengan trenkuasa hibrid elektrik (HEV) dan plug-in hybrid (PHEV). 

Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan disambut dengan susun atur papan pemuka yang menerapkan bahasa rekaan ‘Functional Emotions’. Ruang itu tampil mewah menerusi penggunaan material berkualiti tinggi, selain upholsteri kulit, kemasan kayu dan metalik. 

Papan pemuka dipasang dengan skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci. Tidak ketinggalan skrin kluster instrumen 12.3 inci, sistem audio Bose bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian lwbih rendah pula hadir dengan kluster meter analog beserta skrin MID tengah. 

Sudah dibuka untuk tempahan, Kia Sorento 2023 ditawarkan pada harga bermula RM220,000 (versi standard) hingga RM255,000 bagi versi premium.

GALERI

Google ads
Back to top button