ModifikasiMotosikal

KICKBOXER – MOTOSIKAL DENGAN ENJIN SUBARU IMPREZA WRX

Ini bukan artikel pasal kickboxing dan bukannya juga pasal kereta Subaru WRX. Adalah kaitannya sikit-sikit biasalah tu. Kickboxer merupakan sebuah motosikal konsep yang dihasilkan oleh syarikat MadBoxer dari New Zealand. Ianya diasaskan daripada beberapa keping lakaran CAD (lakaran animasi komputer) yang dihasilkan oleh Ian McElroy sekitar tahun 2009.

Ideanya ialah untuk menghasilkan sebuah motosikal konsep dengan menggunakan enjin boxer 2.5-liter daripada Subaru Impreza WRX. Idea ini memang cukup radikal tetapi cukup teliti sehingga menarik minat Marcel van Hooijdonk untuk menghasilkannya.

Marcel mempunyai semua peralatan dan keperluan untuk menghasilkannya dan beliau sendiri merupakan peminat motosikal sejati. Beliau cuma mengumpulkan ramuan asas seperti enjin dan tayar, menyusunnya dalam kedudukan tertentu dan memutuskan yang ia bukannya sesuatu yang mustahil.

Langkah pertama rekaan ialah menghasilkan bahagian hab hadapan dan sistem pemanduan. Ia bukannya mudah kerana cabarannya ialah mendapatkan kelulusan perundangan New Zealand agar motosikal ini boleh digunakan di atas jalan raya. Rasa-rasa kat Malaysia boleh lepas tak?

Rekaan beliau terpaksa diubah beberapa kali jadi beliau melampirkan dua jenis rekaan kepada pihak berkuasa, satu rekaan menggunakan kabel dan satu lagi menggunakan sistem hidraulik. Kedua-duanya dihasilkan dengan cukup kemas dan teratur dan akhirnya diluluskan. Selepas itu beliau mula mengusahakan bahagian-bahagian lain.

BACA: MUZIUM LHM – INILAH SYURGA SEBENAR PEMINAT MOTOSIKAL

Lahirnya lahirlah lengan ayun hadapan yang unik dengan hab stereng tengah yang memang kelihatan berkualiti tinggi. Tidak peliklah bila ia diluluskan oleh pihak berkuasa New Zealand.

Bahagian kotak gear telah ditanggalkan sepenuhnya dan diubahsuai menjadi dua kelajuan dengan torque converter. Tukaran gear dilakukan dengan tangan menggunakan butang pada bar hendal sebelah kiri. Tidak ada pedal yang dioperasikan dengan kaki pada motosikal ini. Bar hendal kiri menempatkan lever brek belakang dan butang tukaran gear. Penunggang yang baru mungkin agak teragak sebelum mula membiasakan diri tetapi sebenarnya ia tidaklah sesukar mana.

Bahagian tangki minyak dan pelana diambil daripada pelagai model motosikal keluaran Jepun, brek hadapan dan spring adalah daripada Buell tetapi komponen lain seperti pelindung, lengan ayun, komponen stereng, cesi dan sebahagian daripada kotak gear merupakan buatan sendiri. Tetapi jika dilihat dengan teliti, kualiti yang dihasilkan adalah memang cukup tinggi.

Bahagian paling sukar ialah pendawaian menurut Marcel. Semua pendawaian elektrik, bateri lithium dan kapasitor disorokkan dengan teliti di bahagian bawah pelana motosikal ini dan cukup menyesakkan. Tanpa bantuan bateri trak beliau dan kabel jumper mungkin proses ini akan mengambil masa hampir setahun tetapi bila enjinnya berjaya dihidupkan ia sememangnya sesuatu yang luar biasa.

Enjin boxer enam selinder Subaru tersebut adalah dalam keadaan standard cuma dibina semula sebelum dipasang pada motosikal ini. Keseluruhan proses rekaan, binaan dan kimpalan mengambil masa sekitar 5 ke 6 tahun. Terdapat masa-masa di mana perkembangannya agak perlahan dan rekaan terpaksa ditukar tetapi dengan kesungguhan Marcel, akhirnya ia berjaya disiapkan.

Menurut Marcel, projek ini merupakan untuk mengisi masa lapang tetapi ia sememangnya berbaloi. Marcel sememangnya wajar diberikan pujian kerana berjaya menghasilkan sebuah motosikal daripada lakaran CAD dengan jayanya.

Kredit The Kneeslider

Google ads
Back to top button