Artikel Pilihan

KOLEKSI KERETA POLIS JERMAN YANG PALING ‘COOL’

Rasanya semua dah tahu yang kereta-kereta polis paling mewah berada di Dubai tetapi itu lain cerita sebab itu memang negara super kaya. Kereta polis paling boring semestinya di AS, mau taknya kebanyakannya adalah model Chevrolet Caprices dan Dodge Charger. Negara kita? Dulu memang cool dengan Alfa Romeo, Alfa Alfetta dan kemudian diganti dengan Proton Inspira dan Mitsubishi Lancer. Evo X pun dah tak tahu ke mana perginya. Lain pula halnya di Jerman, jangan la nak main-main dengan polis kat sana. Dah la samannya memang mengerikan. Kita tengok koleksi kereta polis mereka yang sangat ‘sejuk’.

Jangan terkejut sebab setengahnya memang bukan model standard tetapi telah diubahsuai oleh tuner kat sana.

BMW Isetta

Kita mula dengan model klasik dulu. Mungkin BMW Isetta ni kelihatan kartun sikit tetapi ia memang comel. Tengok saja pintunya yang dibuka dari hadapan macam peti sejuk rumah mak kita di kampung. Agaknya polis zaman tu nak bawak pun segan. Tapi perlu diingat Jerman ketika itu memang kekurangan dana kesan dari Perang Dunia Kedua jadi faham sajalah.

Jadi Isetta merupakan pilihan kerana ia murah, ekonomikal dan merupakan produk tempatan Jerman. Ia digunakan sekitar tahun 60-an dengan pengubahsuaian yang minima untuk tugas-tugas polis seperti cat hijau, radio dan lampu pandu arah berwarna biru.

Porsche 356B Cabrio

Porsche 356B Cabrio memulakan servis di Jabatan Polis Dusseldorf. Ia tidak didatangkan dalam jumlah yang banyak tetapi mempunyai tugas yang khusus iaitu sebagai peronda Autobahn. Autobahn tidak mempunyai had laju tetapi ai tidak bermakna pemandu tidak melakukan kesalahan jalan raya lain, jadi pihak polis memerlukan kereta yang laju untuk menyaingi mereka.

Kalau guna Isetta memang terkentut la jawabnya dan jalan penyelesaian ialah dengan menggunakan 356B Cabrio ini. Ia telah meronda Autobahn selama 6 tahun dengan julah perbatuan yang mencecah 160,000 km pada odometernya. Ia diubahsuai dengan tangki bahan api yang lebih besar, lampu pandu arah, pembesar suara dan lampu brek tambahan termasuklah kemasan dalaman yang kalis air. Porsche ini masih wujud sehingga hari ini dan berada dalam koleksi peribadi di Belgium.

Mercedes-Benz S-Class

Pada tahun 1990, Mercedes-Benz telah menghasilkan 5 buah S-Class sedan yang telah diubahsuai untuk kegunaan menghantar wang yang banyak. Kereta-kereta tersebut didaftarkan kepada polis Jerman tetapi pada kebanyakan masanya ia digunakan oleh Bundesbank (kalau dah bank nak bawa apa lagi, mesti la duit). Walaupun ia kelihatan sama seperti S-Class lain dengan enjin V8 4.2-liter, ia juga dilengkapi mesin gan di bahagian dalam, pemadam api dan pelbagai ciri keselamatan lain. Kos untuk menghasilkannya memang cukup mahal iaitu sekitar RM1.5 juta seunit ketika itu. Beberapa tahun lepas satu dari kereta ini dilelong di Ebay dengan harga hanya RM48,000.

BMW M3

Walaupun sudah berusia 26 tahun, BMW M3 E36 ini merupakan satu dari kereta paling berharga polis Jerman. Dengan enjin berkuasa 325 hp, ia merupakan satu mimpi ngeri kepada sesiapa yang cuba melarikan diri. Mana taknya ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.5 saat. Tapi sedikit sebanyak prestasinya telah terjejas dengan pemasangan lampu dan siren pada bahagian bumbung. Hilang terus markah aerodinamik kereta ini.

BACA: KERETA YANG SEDAP UNTUK DIJADIKAN KERETA POLIS

Volkswagen e-Golf

Hanya masa akan menentukan bila dan ketika kereta elektrik akan menjadi kereta peronda polis. Ini satu dari contoh yang ada: Volkswagen e-Golf. Ia dihadiahkan kepada pasukan polis Jerman pada tahun 2014. Bukan hanya ia mempunyai tahap emisi sifar, ia juga memang senyap. Saspen bila tahu-tahu dah ada kat belakang. Sayangnya ia tidak mempunyai keupayaan untuk mengejar pesalah dalam jarak yang jauh kerana ia mempunyai sistem motor elektrik yang agak ketinggalan zaman.

Porsche 911 Carrera S TechArt

Ni baru betul, mana boleh cerita pasal Jerman tanpa Porsche 911. Bukan 911 standard tetapi yang ini sudah dilaras oleh TechArt. Kini ia mempunyai 370 hp kuasa dan kemampuan melakukan pecutan 0-100 dalam masa 4.5 saat. Bunyi macam tak hebat kan? Memang la, tapi pada tahun 2005 semasa ia memulakan perkhidmatan ia sudah cukup dahsyat.

Menariknya kereta ini merupakan ilham daripada Kementerian Pengangkutan Jerman dan bergabung dengan Association of German Tuners. Ia merupakan sebahagian dari program untuk menggalakkan pemandu menggunakan peralatan berkualiti dalam mengubahsuai kenderaan. Pergh, sporting betul bro.

Brabus CLS V12

730 hp, itulah kuasa yang ada pada Mercedes-Benz CLS yang melalui proses tuning Brabus ni. Bukan kereta jalanan biasa dan bukan juga kereta polis biasa. Ia juga sebahagian dari program untuk memastikan pemandu menggunakan peralatan tuning berkualiti. Ia memang dihasilkan untuk meronda Autobahn dan bayangkan sahaja aksinya jika terpaksa mengejar perompak bank. Ada berani ke bang?

 

ABT Audi R8 GTR

Audi R8 modified? Rasa-rasa ada jawatan kosong tak sebagai anggota polis Jerman? Ia dihasilkan pada tahun 2011 bila syarikat ABT dipilih untuk menaiktaraf sebuah Audi R8 V10. Hasilnya lahirlah R8 GTR dengan kelajuan maksima 325 km/j! Kenapa ABT boleh dipilih untuk menaiktaraf sebuah supercar untuk kegunaan polis peronda. Mestilan untuk kempen kesedaran ubahsuai yang selamat. Kenapalah tak ada kempen macam ni kat sini.

 

MINI Cooper JCW

Sebenarnya ia cumalah sebuah kereta untuk pameran tapi ia telah menerima kesemua peralatan yang diperlukan untuk sebuah kereta polis. Menariknya ia mempunyai livery ataupun kemasan luar yang unik. Seolah-olah ia dilukis oleh sekumpulan artis jalanan. Tapi betul-betul diorang buat dekat kereta polis memang meringkuk dalam lokap la jawapnya.

Chevrolet Corvette Stingray

Ini memang pelik bin ajaib. Sebuah Corvette C7 Stingray dihantar khusus ke Jerman untuk program kerajaan-persatuan tuner Jerman. Ingatkan diorang anti kereta Amerika. Enjinnya dikekalkan standard tetapi ia juga dilengkapkan dengan segala keperluan kereta polis untuk meronda jalan-jalan di Jerman. Sememangnya hanya mereka di Jerman sahaja akan menempah Corvette ini dengan kotak gear manual 7-kelajuan dan bukannya automatik 8-kelajuan. Hebat boh.

Kredit Carbuzz.com

Google ads
Back to top button