Artikel Pilihan

LELAKI INI PULANG KE ALEPPO, SYRIA DAN MENDAPATI SEMUA KERETA VINTAJNYA MUSNAH

Baru-baru ini, satu siri foto yang dirakam oleh jurugambar agensi berita AFP, Joseph Eid di sebuah kejiranan al-Shaar di bandar utama Syria, Aleppo mencetuskan sensasi di internet.

Gambar itu menunjukkan Mohammad Mohiedine Anis, 70, duduk di bucu katil rumah peninggalan ibu bapanya yang musnah dibom. Wajahnya yang kelihatan tenang sambil menghisap paip dan mendengar lagu dendangan penyanyi Syria, Mohamed Dia al-Din  daripada sebuah pemain piring hitam klasik itu telah dikongsi beribu-ribu kali di laman sosial.

Anis atau lebih dikenali sebagai Abu Omar bukanlah sekadar seorang warga emas biasa. Dia ialah seorang peminat kereta vintaj Amerika. Nampaknya, tiada apa yang dapat memadamkan minatnya itu biar perang besar sekali pun.

Berikutan perang yang kian memuncak, dia terpaksa meninggalkan Aleppo tahun lalu. Tetapi, apabila pulang semula ke Aleppo baru-baru ini, Abu Omar terkejut melihat kemusnahan yang ditinggalkan akibat perang yang sudah berlanjutan sejak tahun 2011.

Sebelum perang meletus, Abu Omar merupakan orang berada. Bapanya seorang peniaga tekstil berjaya dan memandu sebuah Pontiac tahun 1950 yang masih disimpan olehnya.

Pada zaman mudanya, Abu Omar tinggal di luar negara dan belajar jurusan perubatan di Zaragoza, Sepanyol sekitar tahun1970-an. Dia kemudian berpindah ke Turin, Itali dan sempat menterjemah buku manual kereta Fiat ke dalam bahasa Arab. Kembali semula ke Aleppo, dia membuka sebuah kilang kosmetik.

Abu Omar pernah memiliki 30 buah kereta, namun malangnya 10 buah kenderaannya sudah tiada akibat musnah atau dicuri. Kereta vintaj yang menjadi kegemarannya termasuklah Mercury Montclair, Hudson, Citroen, Cadillac dan Chevrolet.

Seperti yang anda boleh lihat daripada gambar-gambar ini, kebanyakan kereta tersebut berada dalam keadaan yang teruk. Kereta kegemaran Abu Omar ialah Cadillac convertible tahun 1947.

Menurut laporan AFP, Cadillac convertible itu pernah dipandu oleh enam orang presiden Syria. Pada tahun 1958, ia dipandu oleh Presiden Mesir dan Syria ketika itu, Gamal Abdel Nasser dan Shukri al-Quwatli di jalan-jalan di Damascus ketika meraikan pengisytiharan penubuhan Republik Arab Bersatu yang tidak bertahan lama.

“Saya membeli kereta ini (Cadillac convertible) 12 tahun lalu dalam satu acara lelongan pada harga cuma 620 pound Syria. Tetapi kemudian saya perlu membayar 100 kali ganda cukai kerana ia tidak pernah melalui pemeriksaan kastam. Saya juga terpaksa mencabut stereng untuk mengelakkannya daripada dicuri,” kata Abu Omar.

Kini, 13 buah kereta masih berada di parkir kawasan rumah dan tamannya. Tujuh buah kereta lagi bagaimanapun telah disita oleh pihak berkuasa kerana dikatakan mengganggu lalu lintas.

Sebenarnya, keadaan kereta Abu Omar mungkin lebih teruk. Tetapi, jirannya berjaya memujuk pasukan pemberontak supaya tidak memasang senjata anti-pesawat ke atas sebuah Chevrolet 1958 ketika perang sedang memuncak.

Walaupun keretanya pernah ditawar untuk dibeli oleh ramai pembeli asing, dia tidak mahu menjualnya. Sebaliknya, semua kereta itu akan diserahkan kepada lapan orang anaknya nanti.

“Saya mempunyai masa silam yang gembira. Tetapi, semuanya sudah berubah. Hidup sekarang sangat susah, tetapi kita tidak boleh putus harapan,” katanya.

Syria terjerumus ke dalam kancah perang saudara selama lebih enam tahun. Menurut laporan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan lebih 400,000 rakyat Syria terbunuh dalam konflik perang tersebut.

Sumber: buzzfeed, autoweek

Kredit foto: AFP & Getty Images

Google ads
Back to top button