LEWIS HAMILTON DITEGUR GARA-GARA AKSI DONUT DENGAN R34 GTR SEWA
Video juara dunia F1 Lewis Hamilton lakukan aksi donut dengan menggunakan Nissan GTR R34 kini sedang tular dan ternyata pemilik R34 tersebut, Omoshiro Rent-A-Car tidak gembira dengan cara pemanduan Hamilton.
Omoshiro memuat naik satu ciapan di Twitter menyatakan kereta tersebut ialah milik mereka tetapi ia digunakan tanpa kebenaran syarikat. Mereka melarang aksi pemanduan seumpama itu untuk kesemua kereta sewa milik mereka.
Hamilton berkongsi video aksi pemanduan beliau di Instagram peribadi beliau tapi video asal dihasilkan oleh pemilik akaun Instagram “13thwitness”. Ia dimiliki oleh Timothy McGurr, seorang jurugambar yang sering mengambil gambar-gambar dan video Hamilton di dalam dan di luar litar.
Walaupun Omoshiro tidak mendedahkan hakmilik R34 putih tersebut ataupun kontrak sewaan kepada Hamilton ataupun wakil beliau tapi berdasarkan maklumat di laman web ia memang milik mereka. R34 ini ditawarkan untuk disewa dengan harga USD347 sehari (bersamaan dengan RM1554).
Sudah tentu kontrak sewaan melarang pemanduan secara agresif apatah lagi jika ia dilakukan di atas jalan raya umum. Bukan di Jepun sahaja, di Amerika Syarikat dan Malaysia pun sama. Jadi jangan nak mengada-ngada sewa lepas buat berlumba. Nak buat sesi penggambaran untuk produk timbang kati dipersilakan cuma jangan menipu downline konon beli sendiri secara tunai selepas sebulan berniaga.
Hamilton belum memberikan maklum balas terhadap dakwaan tersebut tapi dilihat pada ruangan komen jelas ramai rakyat Jepun yang memang tidak berpuas hati dengan kelakuan beliau.
Melihat kepada aksi Hamilton dalam video tersebut jelas sekali aksi tersebut dilakukan di atas jalan raya awam dan melanggar kontrak sewaan kereta tersebut. Hamilton bukan setakat melanggar peraturan tetapi juga melanggar peraturan pemanduan secara hoonage iaitu; jangan sesekali memuatnaik aksi hoonage anda di atas talian. Maksud hoonage tu korang google la sendiri eh.
Korang pernah tengok kami buat aksi tak senonoh macam ni? Tak ada kan? Sebab kami semua pemandu berhemah tinggi. Pemandu mithali gitew.