
MOTOGP: FRANCESCO BAGNAIA MASIH NOMBOR SATU, TAPAU GP QATAR
Gagal menaiki podium ketika perlumbaan Sprint pada Sabtu tidak menggugat pertahan juara, Francesco Bagnaia (Ducati) untuk mendominasi perlumbaan rasmi di Qatar pada Ahad sekaligus menghantar mesej besar kepada pesaing lain.

Pelumba Ducati itu menjadi pelumba pertama mengutip 25 mata penuh pada Ahad selepas memenangi aksi pembukaan di GP Qatar.
Meskipun begitu, perlumbaan pada awalnya telah pun tertangguh seketika apabila jentera Raul Fernandez (Trackhouse Racing) mengalami masalah sebelum dimulakan semula dengan Jorge Martin (Pramac Racing) mendahului peringkat awal.

Walaupun bermula cemerlang, Martin mula kehilangan kedudukan pendahulu selepas dipintas Bagnaia.
Turut bermula baik adalah lapan kali juara dunia, Marc Marquez (Gresini Racing) yang walaupun bermula di baris kedua berjaya memintas Jack Miller (KTM) dan Enea Bastianini (Ducati) untuk menduduki tempat keempat.

Marquez pada satu ketika berjaya dipintas pendatang baharu, Pedro Acosta (GasGas) sebelum pelumba muda itu mula mengalami masalah tayar dan jatuh ke kedudukan kesembilan.
Dalam pada itu, perebutan tempat kedua dan ketiga diantara Martin dan Brad Binder (KTM) membantu Bagnaia untuk membuka jurang selesa sekaligus menamatkan perlumbaan ditempat pertama diikuti Binder, kedua dan Martin, ketiga.
Dalam perkembangan sama, jentera Jepun terus bergelut dengan dominasi mesin Eropah apabila sekadar kesebelas terpantas menerusi Fabio Quartararo (Yamaha).