Artikel Pilihan

MARI BERKENALAN DENGAN ENJIN FORD 2300 4 SILINDER. PILIHAN INFLUENCER DAN PENGGIAT MLM

Sebut sahaja Ford Mustang, semua orang tahu bahawa ini ialah kereta yang dibangunkan oleh Ford untuk berlawan dengan musuh tradisi mereka iaitu Chevrolet Camaro dan Corvette. Bercakap berkenaan dengan tradisi Amerika “size does matter, including your balls“. Jadi tidak hairanlah kereta sport buatan Amerika menggunakan blok V8 dengan saiz enjin yang sangat besar.

Namun apabila bercakap berkenaan kecekapan, kereta buatan Jepun dan Eropah walaupun menggunakan enjin yang kecil prestasi mereka hampir menyamai enjin bersaiz besar yang dihasilkan oleh Ford. Menjelang pertengahan tahun 2000, apabila teknologi enjin kecil dan turbo diperkenalkan oleh pembuat kereta Eropah barulah Ford menyedari mereka sangat ketinggalan zaman.

Kemelesetan ekonomi pada tahun 2008 menyebabkan sektor ekonomi dan automotif Amerika bergoyang. Tanpa bantuan kerajaan dan Senat, nama besar seperti Ford dan Chevrolet mungkin akan tinggal dalam buku sejarah sahaja. Kerajaan Amerika meluluskan pelan bantuan bernilai 5.9 billion USD bagi rancangan ini bagi menjadikan sektor automotif kembali berdaya saing

Pakej ini dikenali dengan nama Advance Technology Vehicle Loan Program dari Jabatan Tenaga Amerika telah memberi laluan kepada Ford bagi memperkenalkan teknologi EcoBoost iaitu barisan enjin aluminium dengan teknologi suntikan terus dan juga turbo. Sebanyak 4,618 paten teknologi baru yang telah dibangunkan oleh jurutera Ford apabila enjin EcoBoost diperkenalkan

Jadi mari kita belajar pasal enjin EcoBoost yang dipasang pada kenderaan kegemaran Abam Japar ini

1. Barisan enjin EcoBoost ini diperkenalkan dengan pelbagai saiz bagi memenuhi keperluan aplikasi pada enjin Ford. Ia datang dengan saiz 3 silinder 1000cc, 1500cc, 1100cc, 1600cc, 2000cc, 2300cc, dan V6 2700cc, V6 3000cc dan V6 3500cc.

Enjin yang digunakan pada Ford Mustang ialah 4 silinder 2300cc turbo skroll berkembar.

2. Enjin ini pada asalnya dipasang pada Ford Focus RS pacuan semua roda. Enjin ini dipasang secara melintang pada Focus RS dengan kuasa sekitar 310 kuasa kuda. Bagi model Mustang, ia telah dinaiktaraf dengan rekaan turbo yang 5% lebih besar dan juga rekaan injap ekzos yang unik bagi menghasilkan 332 kuasa kuda dan 485Nm tork. Kuat juga la kan

3. Enjin ini sebenarnya ada 2 beradik iaitu enjin 4 silinder 2000cc yang dibina oleh Ford Eropah di Valencia, Sepanyol. Ia menghasilkan sekitar 203 kuasa kuda. Versi 2300cc yang digunakan oleh Mustang dihasilkan di Valencia dan juga Ohio bagi pasaran Amerika.

4. Antara teknologi yang diperkenalkan oleh Ford bagi enjin ini ialah binaan blok dan kepala silinder yang dihasilkan daripada aluminium aloi, sistem pemasaan injap Ford yang dikenali dengan nama Twin Independent Variable Cam Timing (Ti-VCT), suntikan bahan api terus, dan juga turbo skrol berkembar.

5. Bagi menjimatkan bahan api, Ford juga memperkenalkan teknologi baru seperti alas bebola besi rintangan rendah, piston disejukkan dengan minyak enjin, piston ring yang disalut dengan teflon, aci engkol dihasilkan dari proses tempaan, dan injap ekzos bersaiz 30mm yang diisi dengan sodium bagi tujuan penyejukan dan mengelakkan knocking

6. Blok enjin ini sama dengan blok enjin 2000cc iaitu memiliki diameter silinder sebesar 87.5mm namun yang berbeza ialah saiz lejang iaitu 94mm. Bagi mengelakkan masalah knocking, Ford menggunakan nisbah mampatan yang lebih rendah iaitu pada 9.5:1. Aci engkol dihasilkan dari steel 4340 dengan kaedah tempaan.

7. Bagi memenuhi keperluan pelinciran, Ford menggunakan pam berkapasiti tinggi dengan tekanan tinggi. Takungan minyak enjin dibina dengan kaedah deep sump dan baffling system bagi membantu pam membekalkan minyak pelincir ketika pecutan dan mengambil selekoh dengan laju

8. Bahagian kepala silinder direka untuk membekalkan udara secara maksimum kepada enjin. Semakin banyak udara, semakin banyak petrol boleh dibakar dan menghasilkan kuasa. Rongga kemasukan udara dihasilkan semula dengan plenum volume yang lebih besar throttle body yang lebih besar

9. Aci sesondol pula direka dengan lebih besar, menjadikan bukaan injap lebih besar dan lama. Saiz injap kemasukan pula ditetapkan pada 30mm. Bahan untuk seat valve pula dihasilkan daripada bahan yang lebih bermutu tinggi serta tahan lasak.

10. 3 port ekzos khas dibuat bagi memuatkan sistem turbo skrol berkembar. Gas ekzos dari silinder 1 dan 4 akan membekalkan aliran gas pada skrol kecil manakala gas ekzos dari silinder 2 dan 3 akan menggerakkan turbin yang lebih besar. Ia dibekalkan oleh Honeywell Garrett Twin scroll MGT2260SZ

11. Kelebihan menggunakan turbo ini ialah ia membekalkan tork yang sangat cantik, sekata dari 3000 sehingga 5300 RPM. Ia juga lebih pantas menghasilkan boost yang diperlukan tanpa masalah turbolag, pencemaran asap yang rendah dan kecekapan turbin yang tinggi

12. Bekalan petrol pula disalurkan menerusi pam kapasiti tinggi (high flow) Gasoline Direct Injection yang diaktifkan dengan cam. Bagi pasaran Eropah, enjin ini menghasilkan 332 kuasa kuda dan 475Nm tork namun masih memberikan bacaan petrol sekitar 12.75km bagi setiap liter. Kalau dah pakai Mustang, mana berkira pasal isi petrol kan.

13. Bagi varian 2.3 EcoBoost ini, ia akan digandingkan dengan transmisi pilihan manual 6 kelajuan yang dibekalkan oleh Getrag MT82. Ataupun untuk generasi terbaru yang tidak kenal dengan klac, enjin ini dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan automatik 6R80 yang hadir dengan penukar gear di steering.

14. Unit transmisi ini datang dengan komponen Rear Limited Slip Differential dengan nisbah seperti berikut. Gear 1 4.17, Gear 2 2.34, Gear 3 1.52, Gear 4 1.14, Gear 5 0.87 dan Gear 6 0.69. Tak payah sembang la pasal manual, bukan budak-budak zaman sekarang tau guna pun kan

15. Jika anda berminat dengan enjin ini dan mempunyai impian untuk enjin ini dipasang pada kereta kesayangan anda, ia boleh ditempah secara berasingan di SINI. Harga yang ditawarkan ialah RM 23,450 jer, tanpa aksesori tambahan dan juga kit tambahan lain. Murahkan.

Google ads
Back to top button